Jadikan kegagalan satu pengajaran

Pertunjukan bunga api pada upacara penutupan rasmi Sukan SEA Ke-30 di Stadium Olahraga New Clark City malam tadi. Malaysia sekadar menamatkan kempen Sukan SEA 2019 dengan kutipan 56 emas, 58 perak dan 72 gangsa untuk berada di tangga kelima keseluruhan. Vietnam akan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2021. - Foto Bernama
Pertunjukan bunga api pada upacara penutupan rasmi Sukan SEA Ke-30 di Stadium Olahraga New Clark City malam tadi. Malaysia sekadar menamatkan kempen Sukan SEA 2019 dengan kutipan 56 emas, 58 perak dan 72 gangsa untuk berada di tangga kelima keseluruhan. Vietnam akan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2021. - Foto Bernama
A
A
A

TEMASYA Sukan SEA 2019 di Filipina menyingkap tirainya secara rasmi malam tadi.

Rumusannya, kontinjen Malaysia gagal mencapai 70 pingat emas sebagaimana yang disasarkan sebelum ini.

Selepas hampir dua minggu bertarung di tiga kluster – Manila, Clark dan Subic, kontinjen Malaysia sekadar mampu membawa pulang 56 pingat emas – kurang 14 emas sebagaimana sasaran awal yang diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ketika mengumumkan sasaran tersebut bulan lalu, Syed Saddiq sendiri memberitahu, jumlah 70 emas itu adalah satu sasaran realistik.

Namun, ada pula versi lain yang mengatakan 70 emas itu hanyalah satu sasaran selamat.

Timbul ‘cakap-cakap’ belakang sepatutnya sasaran yang diletakkan lebih tinggi daripada 70 emas hasil daripada sesi pembentangan Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA).

Benar atau tidak, hanya Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mahupun Majlis Sukan Negara (MSN) lebih tahu tentang hal itu.

Dengan kegagalan mencapai 70 kilauan emas, ini bermakna Sukan SEA edisi ke-30 itu menjadi temasya keempat terburuk dalam sejarah 20 tahun terakhir penyertaan kontinjen Malaysia – situasi yang mungkin tidak tergambar kita semua tatkala Malaysia hadir dengan reputasi penyandang juara.

Artikel Berkaitan:

Kegagalan pada Sukan SEA kali ini hadir tatkala Malaysia membawa kontinjen kedua terbesar bertanding di luar negara selepas edisi 2017 di Korat, Thailand dengan penyertaan 772 atlet membabitkan 52 daripada 56 acara dipertandingkan.

Jika dirumuskan secara keseluruhannya, sebanyak 25 pingat emas tersasar daripada sasaran awal 70 emas yang telah ditetapkan. Hanya 23 jenis sukan yang telah menyumbang emas kepada kontinjen Malaysia pada Sukan SEA kali ini.

Daripada 23 jenis sukan tersebut, 16 sukan-sukan di bawah Program Podium menyumbang 48 emas. Tujuh sukan di luar Program Podium pula menyumbang lapan emas. Jumlah itu kurang daripada ramalan awal yang menyasarkan 26 jenis sukan berupaya menyumbang emas.

Apa saja yang berlaku pada Sukan SEA kali ini, ia menjadi satu lagi sejarah dalam lipatan sukan tanah air.

Bak kata Ketua Kontinjen Malaysia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, ‘kita menang sama-sama, kita kalah sama-sama’.

Jadikan kegagalan itu sebagai pengajaran buat kontinjen Malaysia tampil lebih garang pada edisi akan datang.