X

Kindly register in order to view this article
!

Penduduk Kampung Melayu Puncak Kundang diminta akur perintah mahkamah

Amirudin menunjukkan salah sebuah rumah mewah yang didirikan atas tanah pemaju.
A
A

KUANG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuang, Sallehudin Amiruddin menafikan pihaknya tidak prihatin dengan isu perobohan rumah penduduk di Kampung Melayu Puncak Kundang di sini semalam.

Beliau pada satu sesi live di laman sosial Facebook miliknya menerangkan, pihaknya telah dimaklumkan dengan isu perobohan rumah yang terletak di atas tanah pemaju sejak beberapa bulan lalu.

Namun menurutnya, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh pihaknya mahu pun daripada kerajaan negeri susulan perobohan yang dilakukan semalam menggunakan surat perintah mahkamah.

"Kita tak berada di atas dari kedudukan undang-undang, harap penduduk faham dan akur dengan apa yang diperintahkan oleh mahkamah.

"Apabila melibatkan kes mahkamah ia memang tiada kompromi dari pelbagai sudut. Jadi saya minta penduduk kosongkan rumah mereka dan carilah penempatan sementara," katanya dalam video berdurasi 15 minit itu yang dikongsi petang tadi.

Jelasnya, pihaknya turut menerima maklumat wujud sindiket penjualan tanah di Kampung Melayu Puncak Kundang berdasarkan surat saman pembeli kepada penama yang menjual tanah tersebut.

"Tidak dinafikan pihak kami ada menerima permintaan daripada pihak terlibat dan juga beberapa penduduk yang meneroka tanah itu untuk mendapatkan surat sokongan. Namun permintaan mereka tidak dapat saya tunaikan selepas semakan mendapati tanah itu berpemilik dan bukan di bawah tanah kerajaan.

"Pemeriksaan dilakukan juga mendapati sebahagian penerokaan tanah yang dilakukan terdiri daripada mereka yang dalam golongan berkemampuan, membina rumah mewah yang saya percaya mencecah ratusan ringgit," katanya.

Namun begitu, pihaknya tidak lepas tangan sebaliknya telah mengajak penduduk terlibat bersemuka untuk perbincangan bagi menyalurkan bantuan yang bersesuaian.

"Kita akan bantu juga ikhtiar penampatan baru, tapi tidak semewah rumah yang mereka dirikan. Permintaan penduduk biarlah berpada-pada janganlah minta untuk kekal di kawasan itu kerana ia mustahil untuk ditunaikan oleh pemaju.

"Dakwaan mengatakan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari benarkan pembinaan rumah di kawasan itu juga tidak benar sebaliknya beliau meminta supaya isu tersebut dibincang secara baik antara pemaju dengan penduduk," katanya.

Diakhir sesi penerangan itu, beliau turut meminta sebuah media televisyen yang menularkan isu tersebut dengan membuat tuduhan palsu terhadapnya untuk membuat permohonan maaf.

"Dakwaan mengaitkan saya terlibat 'makan duit' daripada pemaju tidak benar. Saya juga tolak segala tohmahan yang mengaitkan isu tersebut dengan kaum, ia tiada kaitan.

"Saya bagi tempoh media 24 jam kepada pihak media itu keluarkan atau padam kenyataan itu atau berdepan tindakan undang-undang. Saya akan buat laporan polis kerana ia adalah fitnah dan menjejaskan reputasi saya," katanya.

Semalam, Sinar Harian melaporkan penduduk Kampung Melayu Puncak Kundang Kuang buntu selepas pelbagai usaha dilakukan untuk mempertahankan rumah yang diduduki mereka sejak 16 tahun lalu tidak mendapat perhatian mana-mana pihak.

Sebanyak 15 struktur rumah telah dirobohkan sementara 55 yang lain telah dipotong bekalan elektrik, hanya menunggu masa untuk dirobohkan pada bila-bila masa.

ARTIKEL BERKAITAN:

Di-mana-kami-nak-tidur-malam-ni


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!