Nama Datuk K antara yang disebut dalam perbicaraan Ahmad Zahid

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Wasi Khan @ Wasiyu Zama Ishar Ahmad, 50, menyatakan pada Mahkamah Tinggi hari ini, beliau pernah meminta pertolongan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K untuk bertemu dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang merupakan saksi ke- 21 berkata, tujuan asal perjumpaan itu berkenaan adalah bagi mendapatkan bantuan mengurangkan jumlah modal berbayar daripada RM10 juta kepada RM5 juta untuk perniagaan arang batu.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif, Armada Holdings Sdn Bhd berkata, pada pengetahuan umum, Datuk K adalah sahabat lama Ahmad Zahid.

“Pada 2015, syarikat memerlukan modal berbayar RM10 juta bagi memenuhi syarat minimum berdaftar sebagai pembekal arang batu Indonesia untuk kontrak TNB Fuel Services Sdn Bhd (TNB Fuel) namun tidak mempunyai jumlah modal mencukupi dalam akaun.

“Jadi bagi mendapatkan projek dan keperluan berdaftar dengan TNB Fuel, saya menghubungi rakan termasuk Datuk K, sekiranya mereka boleh meminjamkan modal berjumlah RM10 juta,” katanya.

Beliau yang membacakan pernyataan saksi berkata, Datuk K bersetuju untuk membantunya dan berjumpa Ahmad Zahid yang ketika itu memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.

Menurutnya, Ahmad Zahid menasihatkan beliau tidak boleh campur tangan dalam urusan dan dasar yang TNB ditetapkan itu.

“Ahmad Zahid memberi cadangan untuk mengaturkan dari segi kewangan bagi tempoh singkat.

Artikel Berkaitan:

“Buat pertama kali, saya dan Datuk K pergi ke pejabat Ahmad Zahid di Kementerian Dalam Negeri (KDN), Putrajaya dan perjumpaan berlangsung hampir 20 minit.

“Selepas itu, saya dijemput secara lisan oleh Ahmad Zahid sendiri di Taman Tasik Titiwangsa, menyuruh saya datang ke Parlimen keesokan harinya bersendirian,” katanya.

Dalam prosiding sama, Wasi berkata, pada perjumpaan kali kedua itu Ahmad Zahid mengarahkan pegawai Affin Bank untuk menyerahkan cek berjumlah RM10 juta.

“Selepas menerima cek itu, saya berjumpa semula dengan Ahmad Zahid dan beliau memberi tempoh sebulan untuk saya membayar semula pinjaman itu.

“Saya meneliti butiran maklumat cek itu, ia dikeluarkan oleh Yayasan Akalbudi kepada syarikat saya, bagaimanapun Ahmad Zahid tidak memaklumkan kepada saya bahawa wang pinjaman diberikan itu adalah daripada Yayasan Akalbudi,” katanya.

Dalam prosiding sama, ketika sesi soalan tambahan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aishah Maulat Ahmad Zakiuddin, saksi itu memberitahu Datuk K tidak mempunyai sebarang peranan dalam syarikatnya.

Nur Aishah Maulat: Boleh terangkan peranan Datuk K dalam Armada Holdings Sdn Bhd?

Wasi: Beliau adalah sahabat saya dan tidak ada peranan dalam syarikat itu.

Nur Aishah Maulat: Benarkah Datuk K adalah kenalan akrab dengan Ahmad Zahid?

Wasi: Ya.

Nur Aishah Maulat: Bagaimana anda tahu tentang perkara ini?

Wasi: Umum mengetahui Ahmad Zahid dan Datuk Khalid adalah sahabat lama.

Perbicaraan bersambung esok.