Suu Kyi nafi tentera Myanmar lakukan genosid

Suu Kyi (tengah) hadir di mahkamah sehari selepas bekas ikon demokrasi itu digesa supaya menghentikan genosid terhadap etnik Rohingya. - Foto AFP
Suu Kyi (tengah) hadir di mahkamah sehari selepas bekas ikon demokrasi itu digesa supaya menghentikan genosid terhadap etnik Rohingya. - Foto AFP
A
A
A

THE HAGUE - Penerima Hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi hari ini mempertahankan operasi tentera Myanmar terhadap etnik Rohingya.

Ketika mengulas di hadapan para hakim di The Hague, Penasihat Negara Myanmar itu mengaku tentera mungkin menggunakan tindakan kekerasan tidak sesuai, namun tindakan itu tidak membuktikan ia cuba untuk menghapuskan kumpulan minoriti Islam tersebut.

Kes itu mendapat liputan meluas masyarakat antarabangsa selepas Gambia mengemukakan dakwaan tentera melakukan genosid ketika gelombang keganasan baharu tercetus pada 2017 kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

"Gambia telah memberi gambaran yang mengelirukan tentang situasi di Rakhine," katanya yang turut mempertahankan tindakan diambil tentera itu kononnya sebagai respons terhadap serangan dilancarkan militan Rohingya pada 2017.

Menurutnya, Yangon cuba melakukan siasatan mereka sendiri terhadap dakwaan tentera melakukan pembunuhan beramai-ramai itu.

"Dalam situasi ini, genosid tidak boleh menjadi satu-satunya hipotesis," ujarnya.

Tahun lalu, penyiasat PBB membuat kesimpulan tindakan tentera Myanmar sebagai satu bentuk genosid manakala kumpulan hak asasi manusia turut menyenaraikan penyalahgunaan yang dilakukan mereka.

Difahamkan, kira-kira 250 penunjuk perasaan pro-Myanmar turut berhimpun di hadapan ICJ sambil membawa plakad tertera gambar Suu Kyi dan kapsyen 'Kami bersama anda'. - AFP

Artikel Berkaitan: