Haramkan label parti Islamik !

A
A
A

MENGAPA perlu memberi label dan nama “parti Islamik”? Respons yang sudah dijangkakan ialah bila sebuah parti politik mempunyai label zahir “Islamik”, maka ahli-ahlinya akan mengikut ajaran Islam.

Alasan ini sahaja menunjukkan bahawa ahli-ahlinya sangat keliru tentang keimanan. Adakah seseorang itu semestinya beriman jika dia pakai baju T yang ada perkataan 'AKU BERIMAN' besar-besar? Adakah orang ini lebih beriman daripada orang yang pakai baju T 'DORAEMON'?

Satu lagi alasan yang diberi ialah label zahir “parti Islamik” akan kekalkan dan sekurang-kurangnya memberkati parti itu bawah naungan Islam. Kita tertanya, “Adakah ISIS itu kekal dan sekurang-kurangnya diberkati bawah naungan Islam kerana ia juga pakai label Islamik?”

Alasan lain yang diberi ialah label parti Islamik menunjukkan perlembagaan parti itu dipandukan oleh Islam. Kita patut fikir kritis sikit tentang alasan ini. Adakah dengan hanya meletakkan label Islamik dan visi misi Islamik atas kertas perlembagaan parti, maka ini bermakna parti itu semestinya dipandukan oleh Islam pada pelaksanaannya?

Berapa ramai ahli perniagaan yang telah menandatangani kontrak perniagaan tapi akhirnya mereka melanggar undang-undang yang dipersetujui dalam kontrak itu? Kalau benar hanya sekadar label parti Islamik cukup untuk memastikan kepimpinannya Islamik, maka tidak perlulah melaksanakan perjanjian mafia seperti Baiah Talaq Tiga.

Mudah untuk dakwa bahawa parti kami label Islamik, perlembagaan pun Islamik, maka kami dipandukan oleh Islam. Persoalannya ialah siapa yang sebenarnya memandu? Agama Islam yang memandu parti “Islamik” atau elit-elit kuasa yang memandu?

Elit-elit kuasa sebenarnya bukan sekadar presiden parti berlabelkan Islamik. Ini pandangan yang gagal mengambil kira tangan-tangan luar yang ghaib dan tak ghaib. Pengagihan kuasa dalam sebuah parti adalah seperti pengagihan kuasa dalam sebuah negara. Adakah Trump berkuasa mutlak?

Parti “Islamik” mungkin perlu menjaja nama Islam demi untuk menampung perbelanjaan parti. Lobi adalah strategi utama untuk jaga periuk nasi parti. Kepimpinan parti perlu diberi gaji yang cukup. Usaha jihad dalam parti “Islamik” bukan percuma dan murah. Tidak hairan kalau ada pemimpin parti “Islamik” yang pakai kereta mewah sport walaupun duit itu boleh digunakan seperti untuk bayar saman mahkamah! Akhirnya ahli-ahli biasalah yang jual air tepi jalan yang benar-benar derma dan berjihad tampal poster tanpa meminta sebarang bayaran. Bahkan “Unsung Heroes” inilah yang akan turun padang buat kempen pilihan raya nanti dengan jual tanah warisannya.

Artikel Berkaitan:

Tetapi hakikatnya ialah adakah elit-elit kuasa parti berlabelkan Islamik kisah dengan jasa-jasa percuma wira-wira marhaen ini? Mungkin pada mulanya wira-wira marhaen ini disanjung tinggi oleh elit-elit kuasa parti kerana sanggup masuk penjara, sanggup disembur, sanggup ditendang terajang, sanggup digadaikan segala harta, tenaga dan keluarganya “demi Islam”.

Tetapi bila satu hari nanti wira-wira marhaen ini menentang kepimpinan parti label Islamik kerana pada perspektif mereka, kepimpinan sudah lari dari perjuangan Islam, maka adakah kritikan-kritikan mereka akan disambut baik? Bagaimana kalau elit-elit ini rasa kuasa mereka tercabar dan tergugat dengan wira-wira marhaen ini?

Masjid dan sekolah tidak benarkan permainan parti dalam kawasannya kerana politik kepartian sudah tentu bias, kotor dan najis. Dalam politik kepartian, sahabat dilabel “tuan guru”, “ulama”, “rakan syurga” tetapi musuh-musuh dilabel “barua”, “biawak” dan “pengkhianat”.

Persoalannya mengapa haramkan usaha kaitkan masjid dan sekolah dengan parti politik tetapi pada masa sama tidak haramkan usaha kaitkan parti politik dengan label “Islamik”? Mengapa hanya jaga kesucian maruah masjid dan sekolah tetapi tidak kesucian Islam itu sendiri?

ROS patut kaji semula amanah menjaga maruah Islam. Apakah manfaat pada sebuah parti untuk melabel dirinya sebagai parti “Islamik”? Bukankah ini akan mengelirukan rakyat Malaysia tentang hakikat Islam yang sebenar? Jangan sampai rakyat fikir bahawa undi parti “Islamik”, maknanya masuk syurga. Ini jelas adalah sesat dan menyesatkan. Ulama parti label Islamik wajib utamakan maruah Islam dari survival kuasa elit-elit parti.