Liverpool sepatutnya menang besar

Klopp memuji persembahan yang dipamerkan pemainnya selepas menjinakkan Salzburg 2-0 awal pagi tadi. - Foto EPA Christian Bruna
Klopp memuji persembahan yang dipamerkan pemainnya selepas menjinakkan Salzburg 2-0 awal pagi tadi. - Foto EPA Christian Bruna
A
A
A

PENGENDALI Liverpool, Jurgen Klopp memuji persembahan yang dipamerkan para pemainnya selepas menjinakkan kelab dari Austria, Salzburg 2-0 dalam aksi Kumpulan E Liga Juara-juara Eropah di Red Bull Arena, awal pagi tadi.

Kemenangan tersebut sekali gus memastikan The Reds berjaya muncul juara kumpulan dengan 13 mata dan mengesahkan tempat ke pusingan 16 pasukan terbaik di kejohanan Eropah itu.

Namun, di sebalik kemenangan tersebut, Klopp mengakui barisan pemainnya banyak melepaskan peluang terhidang dan Liverpool seharusnya mampu menang dengan jumlah jaringan yang besar.

Berdasarkan statistik, Liverpool mencipta 22 percubaan dengan tujuh peluang seharusnya diterjemahkan kepada jaringan.

"Dalam perlawanan seperti ini kami sepatutnya mampu jaringkan enam atau tujuh gol. Tetapi kami gagal melakukannnya. Tidak mengapalah kerana yang penting kami menang dan jadi juara kumpulan.

"Tetapi, para pemain tidak boleh mengulangi sikap ambil mudah di depan gol dalam perlawanan akan datang kerana kita telah masuk ke peringkat yang lebih sukar," katanya.

Dalam perlawanan itu, Liverpool dan Salzburg bermain agresif seawal minit pertama perlawanan dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan untuk mencari gol.

Malah, pasukan tuan rumah mampu beberapa kali memberikan masalah kepada gawang yang dikawal Alisson Becker dan memaksa penjaga gol Brazil itu berkerja keras menyelamatkan pintu gol daripada dibolosi.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, selepas babak kedua, segalanya tampak berubah apabila Liverpool mula menguasai perlawanan dan membuka tirai jaringan melalui Naby Keita pada minit ke-57 sebelum digandakan Mohamed Salah seminit kemudian.

Dalam pada itu, Klopp turut memuji saingan sengit yang diberikan Salzburg sehingga mampu menyukarkan pasukan kendaliannya mencari gol terutama di babak pertama.

"Saya sangat menghormati persembahan Salzburg. Mereka pasukan yang luar biasa, berusaha gigih dalam perlawanan yang sukar ini.

"Mereka menyerang sejak minit awal perlawanan dan cukup bersedia untuk menghadapi kami. Kami memiliki kelebihan terutama dari segi peluang yang tercipta dan itu menjadi faktor kemenangan kami," katanya.