Tempat makan bebas asap rokok

A
A

SYABAS kepada Kementerian Kesihatan (KKM) atas arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara kita berkuat kuasa 1 Januari 2019. Selain bangunan kerajaan yang sedia maklum diketahui sebagai tempat larangan merokok, arahan baharu ini membabitkan semua premis makanan termasuk warung makan di tepi jalan.

Serius untuk memberi kesedaran tentang bahaya rokok dalam usaha membina masyarakat bertamadun, usaha ini dilaksanakan secara berstruktur dengan enam bulan pertama sebagai tempoh penguatkuasaan pendidikan. Dalam tempoh ini, pesalah hanya akan diberikan notis amaran. Denda atau hukuman hanya akan dikuatkuasakan setelah tamat enam bulan pertama.

Sebetulnya arahan ini sudah lama wujud, khasnya untuk restoran tertutup atau berhawa dingin, namun terdapat segelintir perokok tegar yang masih mengingkari larangan tersebut sebelum ini. Malah, ada antara mereka yang membawa bersama isteri dan anak yang masih kecil. Jika ditegur, ada yang menjegilkan mata pula. Ada juga yang memaki pihak yang menegur, tidak kira pengunjung mahupun pekerja restoran.

Alhamdulillah, kali ini, di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018, kawasan larangan merokok diperluaskan lagi untuk merangkumi semua jenis premis makanan. Tindakan akan diambil terhadap perokok dan juga pemilik restoran yang tidak mematuhi peraturan ini mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324).

Syabas khususnya kepada YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Kesihatan, yang begitu komited dalam memperjuangkan isu ini walaupun mendapat bantahan daripada sesetengah pihak, termasuk rakan politik beliau sendiri.

Jelas, larangan merokok di premis makan ini bukan sekadar ‛hangat-hangat tahi ayam’ apabila pemeriksaan telah dilaksanakan di 5,746 premis makan dan 2,500 notis amaran telah dikeluarkan selepas dua hari penguatkuasaannya. Menurut Dr. Dzulkefly lagi, aktiviti penguatkuasaan dijalankan 24 jam setiap hari.

Antara alasan yang biasa diberikan oleh perokok adalah mereka tidak mengetahui tentang larangan ini. Mungkin mereka juga tidak sedar bahawa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam Malaysia pada 23 Mac 1995 telah memutuskan merokok itu haram mengikut pandangan Islam.

Mungkin ramai juga yang tidak tahu bahawa semua hentian Rehat dan Rawat (R&R), stadium terbuka, taman awam dan Taman Negara termasuk dalam lebih 20 kawasan awam yang disenaraikan sebagai zon larangan merokok sejak dulu lagi.

Syabas juga kepada Komandan Maktab Tentera Diraja (MTD), Brig. Jeneral Abdul Halim Abu Hassan (TUDM) yang turut menguatkuasakan larangan merokok di seluruh kompleks MTD, sama ada kawasan terbuka atau tertutup. Penguatkuasaan larangan ini melibatkan semua pegawai, guru, staf tentera, anggota awam, ibu bapa Putera serta mana-mana individu yang berurusan di MTD.

Selain mendidik rakyat supaya menjauhi amalan yang tidak sihat ini, arahan ini menghindarkan pembaziran, termasuk kos perubatan yang akan ditanggung, terutama dalam jangka masa panjang.

Seperti yang kita ketahui, merokok boleh menyebabkan penyakit paru-paru obstruktif kronik, penyakit jantung, kanser paru-paru serta pelbagai jenis kanser dan penyakit kronik yang lain. Pada masa yang sama, harus diingat bahawa pendedahan kepada asap rokok terbukti memberikan kesan buruk terhadap kesihatan orang lain (second-hand smoker), malah mungkin lebih teruk kesannya jika dibandingkan dengan perokok itu sendiri. Lebih menggusarkan, kebanyakan belia yang ketagih dadah biasanya bermula dengan menghisap rokok.

Malaysia sebagai negara ahli dalam World Health Organization Framework Convention On Tobacco Control (WHO FCTC) bertanggungjawab untuk melaksanakan peruntukan-peruntukan dalam perjanjian antarabangsa ini. Artikel 8 WHO FCTC bertajuk ‘Perlindungan Daripada Pendedahan Kepada Asap Tembakau’ menegaskan negara ahli memperakui bahawa bukti-bukti saintifik telah mengesahkan asap tembakau boleh menyebabkan kematian, penyakit dan kecacatan atau ketidakupayaan.

Rentetan kenaikan harga rokok sehingga hampir RM20 bagi satu kotak 20 batang yang telah dikuatkuasakan terdahulu, ramai perokok beralih kepada rokok seludup yang dijual sekitar RM5 setiap pek. Gambar-gambar ngeri pada kotak rokok juga tidak menggentarkan perokok.

Maka, kita berharap penguatkuasaan terbaharu ini mampu menjadi pencetus bagi perokok untuk berhenti daripada amalan yang tidak sihat dan juga tidak bermanfaat ini.

* Johari Yap ialah Pengerusi Macma Kelantan dan AJK Perkim Kelantan


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.