'Cinta syurga, moga bersama di syurga'

Paparan Twitter Azwan tular di laman sosial.
Paparan Twitter Azwan tular di laman sosial.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - 'Cinta syurga, moga bersama di syurga', demikian kata-kata pengguna laman sosial setelah membaca kisah sedih pasangan suami isteri yang berpisah jasad namun cintanya tetap utuh hingga ke syurga.

Khairul Azwan Razali berkongsi kisah hidupnya di Twitter meraih simpati netizen di atas pemergian isteri tersayang Nur Syamimi Alia Mazlan, empat bulan lalu.

Masing-masing berusia 24 tahun itu mula bertemu di Makkah pada 2011 sebelum disatukan pada 18 Jun 2018.

Azwan memberitahu, sebelum mendirikan rumah tangga, dia mengetahui isterinya derita kanser sejak 2016 namun tidak menyangka ia merebak dengan cepat.

"Saya mengenali isteri sudah lama, jadi lebih tahu tahap kesihatannya. Dia ada mengadu sakit pada 2016, dan doktor hanya kata gastrik. Lepas jumpa pakar, baru tahu ada kanser.

"Niat mahu menjaganya, kami disatukan pada 18 Jun tahun lalu dan sempat bersama selama 18 bulan sahaja," katanya menetap di Kampung Batu Buruk di sini.

Azwan bersama arwah isterinya menunaikan umrah pada Mac lalu.
Azwan bersama arwah isterinya menunaikan umrah pada Mac lalu.

Menurutnya, kehilangan isteri tercinta amat memberi kesan mendalam kepada dirinya kerana sebelum ini jiwa terisi tetapi kini menjadi kosong.

Artikel Berkaitan:

"Rasa kosong tu memang rasa jiwa macam dah tak ada, bila balik rumah sendiri terbayang-bayangkan isteri, suara isteri seolah-olah nak pergi gali balik kubur itu tapi itulah takdir ALLAH dan ujian-NYA untuk hamba-NYA.

"Saya sudah positif dan kini tinggal bersama ahli keluarga di Kampung Batu Buruk, ada kala pergi ke rumah mentua di Kampung Bukit Datu untuk menziarahi kubur isteri," katanya kepada Sinar Harian.

Bercerita lanjut, katanya, dia terkilan kerana hajat untuk membawa isterinya pergi menunaikan umrah pada 2020 tidak kesampaian.

No Image Caption

"Kami sebenarnya rancang nak pergi ke Makkah pada tahun hadapan dengan keluarga. Apa pun saya bersyukur kerana ALLAH pertemukan kami di Makkah yang pastinya memberi kenangan indah untuk diingati," katanya.

Khairul Azwan yang mengusahakan sebuah kedai runcit dan menjalani perniagaan roti john berkata, Allahyarham Nur Syamimi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Bukit Tinggal Kuala Nerus.

Terdahulu, entri foto perkahwinannya dan foto Azwan menziarah pusara isterinya yang dimuat naik di Twitter menyentuh hati netizen sehingga kini meraih 18,100 perkongsian dan 25,900 tanda suka.

Pendakwah atau Dai Wan Dazrin Wan Din turut berkongsi entri bergambar itu.

"Bila kita mencintai seseorang, bukan semestinya syarat mencintai itu dia kena ada di sisi kita, tak boleh ada syarat dalam mencintai, supaya tidak akan ada yang rugi.

"Meskipun orang yang kita cintai itu dah pergi, tapi perasaan itu kekal dan ia masih mampu beri rasa gembira. Thank you, Azwan," tulis Wan Dazrin.