'Jangan cemar air minuman kami'

Malik pengerusi Bertindak serah salinan memorandum kepada Abd Nasir kanan di tapak projek.
Malik pengerusi Bertindak serah salinan memorandum kepada Abd Nasir kanan di tapak projek.
A
A
A

BALING - Penduduk dari tujuh kampung membabitkan 12,000 penduduk berdepan krisis air apabila kolam takungan air masyarakat di Gunung Inas dikhuatiri tercemar akibat projek tanaman durian musang king.

Projek itu membabitkan kompartment 6,7,8 dan 9 di kawasan gunung tersebut dan diluluskan sebelum kerajaan baharu diberi mandat.

Pengerusi Badan Bertindak Bantah Pembalakan dan Tanaman Musang King Komparment 8, Abdul Malik Arshad berkata, Kampung Iboi mempunyai dua kolam takungan air di atas Gunung Inas membabitkan kompartment 8.

"Kita bukan menghalang pembangunan kerajaan tetapi kerajaan harus mengambil kira kepentingan penduduk," katanya kelmarin.

Terdahulu, penduduk bersama Adun Bayu, Abd Nasir Idris melakukan tinjauan projek di komparment 8 yang bakal menjejaskan 8,000 penduduk.

"Setakat ini kita tak dipanggil bincang sebelum projek ini dijalankan. Kita kecewa dan penduduk berharap pihak syarikat bertanggungjawab.

"95 peratus penduduk menggunakan bekalan air masyarakat. Jika harap air Syarikat Air Darul Aman kami tak boleh dapat bekalan seperti mana dibekalkan paip air masyarakat," katanya.

Keadaan kompartment 8 yang ditarah.
Keadaan kompartment 8 yang ditarah.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jawatankuasa bertindak telah menghantar surat kepada jabatan kerajaan terbabit, pejabat daerah dan menteri besar namun tiada penyelesaian menyeluruh.

"Kami jawatankuasa bertindak mewakili penduduk bersedia dan mengalu-alukan pihak syarikat dan kerajaan negeri untuk berbincang. Kita jika boleh mahu projek ini dibatalkan dan dipindah ke tempat lain," katanya.

Generasi kelima Kampung Iboi, Abdul Hamid Ahmad, 74, berkata, sebahagian tanah diusahakan 100 peneroka di kawasan itu termasuk kawasan projek.

"Sebelum ini kawasan diusahakan penduduk hutan simpanan kekal. Tetapi selepas diusahakan kerajaan beri geran sekitar tahun 60 an.

"Tetapi permit itu telah dibatalkan. Sebilangan dah dapat borang 5A beberapa tahun lalu, tetapi kami nak bayar pada pejabat berkenaan ia tidak diterima," katanya

Sementara itu, Adun Bayu, Abd Nasir Idris berkata, kerajaan perlu prihatin terhadap tanah diusahakan penduduk.

"Ada yang telah dapat borang 5A termasuk yang telah membuat bayaran cukai tanah setiap tahun.

"Tetapi status pemberian sementara dibatalkan. Penduduk rata-ratanya orang susah, itulah satu-satunya tanah diusahakan sebagai sumber pencarian mereka," katanya.

Beliau berkata, usaha penduduk membina empangan air bagi kegunaan mereka secara gotong royong sejak puluhan tahun tidak wajar dimusnahkan.

Sebaliknya, kerajaan perlu berterima kasih kepada penduduk kerana meringankan bebanan kerajaan menyediakan bekalan air bersih di kawasan pendalaman.