Kesilapan mudah punca Keen Hoo terlepas emas

Kesilapan mudah punca Keen Hoo terlepas emas.
Kesilapan mudah punca Keen Hoo terlepas emas.
A
A
A

MANILA - Pemain snuker negara, Moh Keen Hoo terlepas peluang terbaik untuk mengulangi kejayaannya 12 tahun lalu, apabila sekadar meraih pingat perak dalam acara snuker individu lelaki di Sukan SEA Filipina hari ini.

Keen Hoo tewas 2-4 kepada wakil Thailand, Kritsanut Lertsattayathorn sekali gus gagal mengulangi pencapaiannya yang meraih emas acara sama ketika di Korat pada edisi 2007.

"Rasa teruklah, sepatutnya saya boleh menang setiap pusingan ada peluang untuk saya menang tetapi nak buat macam mana saya sendiri yang buat banyak kesilapan mudah.

"Mungkin saya terlalu hendak pingat emas ini sampai saya sendiri tertekan, sepatutnya saya sendiri perlu kawal tekanan itu," katanya.

Pada aksi final di Manila Hotel Tent Manila, Keen Hoo yang ketinggalan pada dua pusingan awal berjaya bangkit merapatkan jurang sehingga kedudukan 2-3.

Bagaimanapun, kesilapan mudah ketika pusingan keenam meragut impian pemain berusia 33 tahun itu yang menyaksikan beliau terpaksa menerima hakikat tewas kepada lawan 0-65, 57-64, 87-0, 49-72, 69-21 dan 39-64.

Keen Hoo pada Jumaat lalu sudah menyumbang emas pertama snuker dalam acara beregu selepas gandingannya bersama Lim Kok Leong untuk menewaskan wakil tuan rumah Alvin Barbero/Jefrey Roda, 3-1 di pentas akhir. - Bernama

Artikel Berkaitan: