Muhyiddin, Shafie dipecat buat kenyataan 1MDB luar Kabinet: Najib

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dipecat kerana mereka membuat kenyataan berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di luar Kabinet.

Bekas Perdana Menteri itu berkata demikian semasa memberi keterangan membela diri terhadap tujuh pertuduhan berkaitan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd semasa pemeriksaan balas oleh Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Thomas: Sememangnya diketahui umum bahawa kamu memecat mereka.

Najib: Saya pecat mereka kerana membuat kenyataan (berkaitan 1MDB) secara terbuka sedangkan ia sepatutnya dibuat dalam mesyuarat Kabinet.

Kepada soalan sama ada beliau memberi persetujuan bagi jaminan kerajaan bagi pinjaman kedua berjumlah RM2 bilion oleh SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Najib, 66, berkata: "Saya memberi persetujuan tersirat sahaja."

Pada 11 November lepas, Najib diperintah membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dengan dana SRC International setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu.

Dalam pada itu, Najib mengaku menulis catatan tangan menyatakan 'Bersetuju' pada surat permohonan pinjaman SRC International berjumlah RM3.95 bilion kepada KWAP.

Beliau mencatatkan demikian pada surat SRC bertarikh 3 Jun 2011 yang dihantar kepadanya.

Artikel Berkaitan:

Ketika ditanya Thomas tujuan SRC memberikan surat itu terus kepadanya (Najib) dan bukan kepada KWAP, Najib berkata pihak SRC mungkin ingin mencari jalan pintas untuk permohonan mereka diluluskan KWAP.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok. - Bernama