Pencipta kod bar meninggal dunia

George J Laurer, pencipta kod bar meninggal dunia pada usia 94 tahun. - Foto Agensi
George J Laurer, pencipta kod bar meninggal dunia pada usia 94 tahun. - Foto Agensi
A
A
A

MIAMI - Jurutera Amerika Syarikat, George J Laurer yang membantu mengubah dunia runcit pada tahun 1970-an meninggal dunia pada usia 94 tahun.

Bekas kakitangan syarikat komputer IBM itu meninggal dunia minggu lalu dan dikebumikan di kampung halamannya di Wandell, North California kelmarin.

Laurer diiktiraf sebagai pencipta bersama Kod Produk Universal (UPC) atau kod bar yang boleh mengimbas jutaan produk, perkhidmatan dan barangan lain.

Pada tahun 1969, Laurer menjadi jurutera dan saintis kanan IBM di Raleigh.

"Empat tahun kemudian, pada 1973 Laurer terus mempelopori pembangunan simbol UPC dan menjadi revolusi pada hampir setiap industri di dunia," menurut penghargaan yang dimuat naik di laman web IBM.

Seorang lagi kakitangan IBM, Norman Woodland yang meninggal dunia pada 2012 dianggap sebagai perintis idea kod bar berdasarkan kod Morse.

Woodland mempatenkan konsep tersebut pada tahun 1952 namun tidak dapat dibangunkan kerana teknologi laser dan komputer masih mundur.

Bagaimanapun 20 tahun kemudian, Laurer membangunkan pengimbas yang boleh membaca kod secara digital.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun 1973, IBM melancarkan produk itu dan urus niaga kod bar pertama berlaku pada 26 Jun tahun berikutnya di sebuah pasar raya di Troy, Ohio.

Produk pertama diimbas adalah sebungkus gula-gula getah Juicy Fruit Wrigley yang kini dipamerkan di National Museum of American History di Washington. - AFP