MAPS akan terus beroperasi, kata MB Perak

Taman Tema Studio Animasi (MAPS). Gambar kecil: Ahmad Faizal Azumu
Taman Tema Studio Animasi (MAPS). Gambar kecil: Ahmad Faizal Azumu
A
A
A

IPOH - Taman Tema Studio Animasi (MAPS) akan terus beroperasi seperti biasa biarpun syarikat yang mengendali taman tema tersebut Animation Theme Park (ATP) Sdn Bhd gagal membayar balik bayaran prinsipal berjumlah RM25.7 juta kepada Affin Hwang Investment Bank Bhd (Affin Investment).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Perak Corporation Berhad (PCB) dan ATP yang merupakan anak syarikatnya akan berbincang dengan pihak bank berhubung perkara itu.

Menurutnya, kerajaan Pakatan Harapan membantu melaksanakan pelbagai usaha untuk menyelesaikan masalah dihadapi oleh taman tema tersebut yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

"Mereka telah membangunkan MAPS dengan hutang yang begitu besar membabitkan nilai ratusan juta Ringgit. Lebih setahun kita cuba untuk selamatkan MAPS ini. Hari ini kita telah kurangkan pekerja, mendapatkan pulangan hasil dan berjaya membayar gaji pekerja.

"Bagaimanapun sejak dua bulan lepas, kami tidak mampu membayar RM21 juta menyebabkan 'default payment' sehingga pihak bank mengambil tindakan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Bil 1/2019 di Bilik Gerakan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan The Edge Markets Jumaat lepas bahawa Affin Investment pada 4 Disember melantik Datuk Duar Tuan Kiat dari Messrs Ernst & Young sebagai penerima dan pengurus hartanah ATP yang juga pengendali MAPS.

Sehubungan itu, pengurusan ATP digantung serta merta dengan semua urusan berkaitan kewangan dan operasi diletakkan di bawah tanggungjawab Duar Tuan Kiat.

Dalam pada itu Ahmad Faizal berkata, MAPS tidak akan ditutup kerana pihak bank perlu memahami bahawa perniagaan perlu diteruskan bagi membayar balik pinjaman berkenaan.

Artikel Berkaitan: