Bekas calon AJK AMK maut ditetak

Keadaan mangsa terbaring selepas diserang sekumpulan lelaki.
Keadaan mangsa terbaring selepas diserang sekumpulan lelaki.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI]Bekas calon ahli jawatankuasa AMK Cabang Shah Alam pada pemilihan PKR Oktober lalu maut ditetak sekumpulan lelaki di tingkat bawah sebuah flat di Jalan Plumbum, Seksyen 7 di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang lelaki memaklumkan kejadian pada jam 5.16 petang.

Menurutnya, mangsa, M Thiyahu, 30, diserang dengan parang oleh tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta Proton Waja.

"Mangsa cedera parah di bahagian muka, belakang kepala, tangan kanan dan kedua-dua kaki. Dia dibawa ke Hospital Shah Alam untuk mendapat rawatan.

"Bagaimanapun, mangsa yang bekerja sebagai operator kilang disahkan meninggal dunia pada jam 6.30 petang di Wad Kecemasan Zon Merah Hospital Shah Alam semasa menerima rawatan," katanya.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan mengesan suspek.

Bedah siasat mangsa dijalankan di Hosptal Shah Alam, hari ini.

"Polis masih menyiasat motif serangan terhadap mangsa dan mengenalpasti semua suspek yang terlibat. Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Artikel Berkaitan:

"Saya mohon orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Vignesh Kumar ditalian 0355202222," katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman video berdurasi 26 saat di media sosial yang memaparkan seorang lelaki terbaring dalam keadaan berlumuran darah di kaki lima tingkat bawah sebuah flat .

Terdapat beberapa lelaki dan seorang wanita kelihatan cemas berdekatannya dilihat menjerit dan cuba meminta bantuan.

Dalam pada itu Adun Kota Anggerik, Najwan Halimi menerusi status dimuat naik dalam akaun Facebooknya merakam takziah kepada keluarga mendiang.

Menurutnya, mendiang diserang dengan senjata tajam di Flat Nilam Sari di Seksyen 7 Shah Alam dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Katanya, beliau sudah berhubung dengan Baharudin berhubung insiden terbabit dan dimaklumkan siasatan serta-merta sudah dijalankan.

"Saya kenal mendiang Thiyahu secara peribadi dan beliau merupakan seorang anak muda yang baik dan berbudi pekerti mulia serta suka membantu masyarakat di sekitar kawasan pangsapuri. Beliau merupakan ahli PKR dan calon pimpinan AMK yang bertanding bersama-sama saya dalam pemilihan peringkat cabang Shah Alam, baru-baru ini. Beliau tewas dalam pertandingan tersebut.

"Semoga keluarga mendiang tabah dan kuat menghadapi saat-saat mencabar ini," katanya.