X

Kindly register in order to view this article
!

Kedaulatan undang-undang telah mati di Malaysia: Ismail Sabri

Ismail Sabri
A
A

KUALA LUMPUR - "Kedaulatan undang-undang telah mati di Malaysia", tegas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata demikian mengulas kes Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (BAFIA) melibatkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

Menurut Ismail Sabri, pengamal undang-undang malah rakyat biasa terkejut dengan kenyataan Rafizi kepada Peguam Negara (AG), Tommy Thomas yang seakan akur dengan kehendak Rafizi.

“Rafizi dalam kenyataannya kecewa AG boleh menggunakan kuasa beliau menarik balik kes Lim Guan Eng tetapi mengarahkan Jabatan Peguam Negara (AGC) membuat rayuan terhadap keputusan mahkamah yang memihak kepada beliau.

“Hasilnya AG menarik balik notis rayuan yang telah difailkan di mahkamah dan menyalahkan Peguam AGC pula kerana memfailkan Notis Rayuan tanpa kebenaran beliau.

“Apakah AG tidak faham prosedur AGC sendiri atau cuba menyelamatkan diri dengan 'mengkambing hitamkan' peguam AGC?” soalnya di Facebook beliau hari ini.

Ahli Parlimen Bera itu turut mempersoalkan adakah Tommy menggunakan kuasanya menarik balik rayuan terhadap kes Rafizi setelah diugut oleh bekas Ahli Parlimen Pandan itu.

Tegas beliau, jika benar perkara itu berlaku, ia merupakan peristiwa yang sangat malang kepada sistem perundangan negara.

“AG ditugaskan menjadi pengawal dan pelindung kepada kedaulatan undang-undang dan ‘Rule of Law’ tetapi rakyat kini nampak AG telah menjadi orang yang melanggarnya?

“Harapkan pagar, pagar makan padi. Ini bukanlah pertama kali beliau menjaga kedaulatan undang-undang malah berkali-kali gagal melakukannya sebelum ini,” katanya.

Tegas beliau, dengan tindakan sebegitu, beliau menyatakan rakyat seolah-olah tidak lagi dilindungi oleh undang-undang.

“Kes Rafizi melibatkan kerahsiaan klien bank. Kesalahan di bawah undang-undang BAFIA. Jika kerahsiaan klien bank tidak lagi dijamin, siapa lagi nak mempercayai bank kita?

“Kerahsiaan klien atau ‘client's secrecy’ adalah perkara asas hubungan bank dan klien. Jika perkara ini tidak dapat melindungi bank dan pelanggan mereka, maka ini menjadikan sistem kerahsiaan bank sudah jadi tidak selamat lagi.

“Perkara ini boleh memberi kesan kepada masa depan industri perbankan di Malaysia,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!