X

Kindly register in order to view this article
!

Kuartet negara tamat kemarau pingat sejak edisi 2013

Berbekalkan dengan latihan singkat dua hari, gandingan jaguh pecut negara, Khaifrul Hafiz Jantan, Nixson Kennedy, Russell Alexander Nasir Taib dan Raja Pecut Asia Tenggara yang baharu, Muhammad Haiqal Hanafi merakamkan catatan masa 39.78 saat (s).
A
A

NEW CLARK CITY - Selepas gagal meraih pingat pada tiga edisi Sukan SEA lalu, kuartet 4x100 meter (m) lelaki negara akhirnya menamatkan penantian enam tahun dengan merangkul pingat perak dalam acara olahraga pada edisi ke-30 di sini malam tadi.

Berbekalkan dengan latihan singkat dua hari, gandingan jaguh pecut negara, Khaifrul Hafiz Jantan, Nixson Kennedy, Russell Alexander Nasir Taib dan Raja Pecut Asia Tenggara yang baharu, Muhammad Haiqal Hanafi merakamkan catatan masa 39.78 saat (s).

Lebih manis, kejayaan berkenaan hadir selepas kali terakhir gandingan Mohd Zabidi Ghazali, Mohd Ikhwan Nor, Mohd Azhar Ismail dan Mohammad Noor Imran, merangkul pingat gangsa dengan masa 40.41s pada Sukan SEA Indonesia pada 2011.

Muammad Haiqal mengakui mereka hanya sempat menjalani latihan singkat selama dua hari sebelum bermulanya acara berkenaan.

“Apa yang kami sasarkan adalah buat yang terbaik. Terima kasih kepada semua barisan kejurulatihan, rakan sepasukan saya dan rakyat Malaysia yang mendoakan kejayaan kami,” katanya ketika ditemui pemberita selepas acara berkenaan.

Berkongsi pandangan sama adalah Khairul Hafiz, yang bersyukur kerana dapat menyumbang pingat untuk kontinjen negara, walaupun hanya beraksi dalam acara itu sebagai atlet kategori B.

Pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pelari dengan nama julukan 'The Speedy Jantan’ itu​​​​​​​ menamatkan penantian emas 14 tahun Malaysia dalam acara riben biru itu dengan catatan 10.38s, sekali gus mengetepikan pemenang emas Singapura 2015 dari Filipina, Eric Cray (10.43s).

Catatan peribadi terbaik yang juga rekod kebangsaan milik Khairul Hafiz adalah 10.18s yang dicipta pada temasya Sukan Malaysia (Sukma), Sarawak pada Julai 2016.

“Walaupun ketiadaan jurulatih (Mohd Poad Mohd Kassim) di sini, kami telah berjuang sebagai satu pasukan yang mantap,” katanya.

Thailand yang dibarisi Sowan Ruttanapon, Bandit Chuangchai, Jirapong Meenapra dan Siripol Punpa mengekalkan pingat emas yang dimenangi pada 2017 selepas mencatat 39.27s.

Pingat gangsa diperolehi kuartet Filipina yang dianggotai oleh Anfernee Lopena, Clinton Kingsley Bautista, Francis Medina dan Eric Shauwn Cray dengan catatan masa 40.04s.

Rekod kebangsaan 4x100m masih dipegang oleh Muhammad Haiqal, Badrul Hisyam Abdul Manap, Nixson dan Jonathan Nyepa yang melakar catatan masa 39.27s pada KL2017. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus