'Dikritik budak hingusan, perkara biasa dalam politik'

Fahmi Fadzil - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Fahmi Fadzil - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan lantang Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Zuraida Kamarudin yang mengkritik Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil sebagai budak hingusan sama sekali tidak memberi kesan kepada beliau.

Fahmi Fadzil berkata, itu merupakan asam garam yang perlu dilaluinya dalam kancah politik negara.

“Sebagai seorang yang beragama Islam, saya sentiasa ingatkan diri untuk bersabar dalam apa jua keadaan. Politik itu rencam yang memberi pelbagai pengalaman.

“Saya terimanya sebagai pengalaman biasa dalam dunia politik,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Kelmarin, Zuraida pada ucapannya di Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 di sebuah hotel di ibu negara menyasarkan beberapa nama pemimpin parti yang menjadi penyokong kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Zuraida menyatakan Fahmi sebagai ‘budak hingus’ berikutan tindakannya yang bertanya mengenai kehadiran dirinya pada mesyuarat parti.

Menurut Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, beliau sentiasa berpegang kepada ‘nawaitu’nya menceburi bidang politik adalah untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

“Semestinya semua pengalaman mendewasakan kita. Paling penting adalah sentiasa memberi peringatan kepada diri sendiri, apa niat kita. Selagi tidak terpesong, saya kekal dalam usaha,” katanya.

Artikel Berkaitan: