Jenayah fitnah

A
A
A

RAMAI yang selalu berfikir apabila ada isu melibatkan fitnah atau dilemparkan dengan sebarang kenyataan fitnah, satu-satunya jalan untuk membersihkan nama dan reputasi adalah melalui saman fitnah.

Namun, sedarkah anda bahawa itu bukanlah satu-satunya jalan untuk membersihkan nama anda yang telah difitnah?

Selain tindakan saman sivil (saman fitnah), fitnah juga boleh dikategorikan sebagai satu kesalahan jenayah. Kanun Keseksaan telah memperuntukkan fitnah sebagai satu kesalahan jenayah yang boleh didenda dan dipenjara jika sabit kesalahan.

Seksyen 499 Kanun Keseksaan memperuntukkan mengenai kesalahan fitnah. Secara kasarnya, Seksyen 499 menyatakan bahawa jika mana-mana individu ada membuat atau menerbitkan sebarang kenyataan tidak benar yang akan atau boleh merosakkan reputasi orang lain, serta ditulis atau disebarkan dengan niat jahat, adalah melakukan satu kesalahan jenayah fitnah.

Lantas, jika sabit kesalahan memfitnah orang lain, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali seperti yang telah diperuntukkan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Namun, Seksyen 500 Kanun Keseksaan tidak pula menetapkan berapa kadar atau nilai denda yang boleh atau perlu dikenakan kepada tertuduh.

Jadi, secara teorinya, nilai denda boleh jadi tidak terhad dan bergantung kepada budi bicara mahkamah sepenuhnya. Denda tersebut boleh jadi ribuan ringgit atau mungkin juga boleh mencecah jutaan ringgit.

Semuanya akan bergantung kepada nilai reputasi mangsa fitnah dan juga tahap kerosakan yang dilakukan serta kerugian yang dialami oleh mangsa fitnah. Mahkamah akan melihat setiap kes fitnah itu sebagai unik dan akan dinilai mengikut situasi kes.

Artikel Berkaitan:

Dalam mendakwa jenayah fitnah, pihak pendakwaan secara umumnya perlu melengkapkan empat elemen pembuktian utama di mahkamah.

Pertama, tertuduh telah membuat atau menerbitkan kenyataan fitnah. Kedua, kenyataan fitnah tersebut ditujukan kepada mangsa. Ketiga, kenyataan fitnah tersebut dizahirkan kepada orang lain.

Keempat, kenyataan fitnah tersebut telah dibuat dengan niat untuk membahayakan atau merosakkan reputasi mangsa. Jika cukup empat elemen utama ini, maka akan berjalanlah kes pendakwaan itu.

Tambahan, Seksyen 501 Kanun Keseksaan memperuntukkan mengenai fitnah yang dilakukan melalui cara cetakan atau ukiran.

Lantas, jika fitnah dilakukan melalui lakaran kartun sekalipun, ia boleh didakwa di bawah seksyen itu asalkan ia memenuhi semua elemen pembuktian yang diperlukan mahkamah.

Tidak terlepas

Pada hari ini, kita melihat banyak pelekat atau baju-T yang mempunyai unsur fitnah telah dijual dan dipakai oleh orang awam. Tahukah anda, tindakan menjual sebarang bentuk cetakan atau ukiran yang berunsur fitnah juga boleh didakwa di bawah Seksyen 502 Kanun Keseksaan?

Ingat! Jika anda sekadar memakainya tetapi tidak menjualnya, anda juga tidak akan terlepas. Anda turut boleh didakwa kerana menyebarkan fitnah.

Selain daripada peruntukan-peruntukan yang ada dalam Kanun Keseksaan, tindakan pendakwaan juga boleh dilakukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM).

Di bawah Seksyen 233 AKM, apa-apa kenyataan atau komunikasi lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain adalah satu kesalahan dan boleh didakwa di mahkamah.

Oleh itu, jika anda rasakan anda adalah mangsa fitnah yang disebarkan bukan sahaja melalui platform atas talian tetapi juga dengan lain-lain cara, anda boleh membuat laporan polis.

Siasatan akan dijalankan dan jika cukup bukti untuk pendakwaan, maka pemfitnah tersebut boleh didakwa di mahkamah.

Ia satu alternatif yang cukup baik kepada orang awam yang telah menjadi mangsa fitnah tetapi tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk membuat tuntutan melalui saman fitnah.

Cuma bezanya, seandainya pemfitnah tersebut berjaya didakwa, anda tidak akan diberikan sebarang ganti rugi oleh mahkamah berbanding jika anda mengambil tindakan saman sivil terhadap pemfitnah tersebut.

Adalah dinasihatkan kepada semua orang awam, janganlah kita mengeluarkan atau berkongsi sebarang kenyataan yang tidak pasti terutamanya di laman sosial kerana ia berpotensi untuk membawa bencana kepada kita pada masa depan.

Jangan hanya kerana kita mahu tular di media sosial, kita mengeluarkan atau berkongsi kenyataan bersifat tohmahan atau fitnah, yang akhirnya akan membinasakan diri sendiri.