Empat projek pemulihan di Bukit Bendera siap: Kon Yeow

Kon Yeow (tiga dari kiri) meninjau kerja-kerja penyelenggaraan yang dibuat oleh Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang terhadap tanah-tanah yang runtuh akibat ribut tropika yang melanda pada 4 November 2017 di kawasan itu hari ini. - Foto Bernama
Kon Yeow (tiga dari kiri) meninjau kerja-kerja penyelenggaraan yang dibuat oleh Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang terhadap tanah-tanah yang runtuh akibat ribut tropika yang melanda pada 4 November 2017 di kawasan itu hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Empat kerja-kerja pemulihan dan penstabilan susulan kejadian tanah runtuh di sekitar Bukit Bendera pada 4 November 2017 kini telah disiapkan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, ia termasuk projek membaik pulih dan pembesaran tiga tangki septik komunal, landskap dan pembinaan nurseri ‘Pelawan’, di samping kerja-kerja pengukuhan cerun sepanjang jalan Upper Tunnel dan kawasan cerun berhampiran kawasan Kuil Sri Thirumurugan, Masjid Bukit Bendera dan banglo Bel-Retiro.

Menurutnya, kos keseluruhan untuk keempat-empat projek itu adalah sekitar RM11.64 juta.

“Penang Hill Corporation (PHC) akan meneruskan kerja-kerja pemulihan, pembaikan, dan pembinaan semula di lain-lain kawasan yang terjejas akibat ribut tropika pada November 2017 itu, bagi memastikan Bukit Bendera menjadi tempat yang selamat untuk dilawati pengunjung,” katanya dalam persidangan media selepas melawat sekitar tapak projek berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu Pengurus Besar PHC, Datuk Cheok Lay Leng yang turut hadir di persidangan media itu berkata, kerja-kerja pemulihan akan difokuskan kepada infrastruktur yang kritikal seperti tapak-tapak pelancongan dan kawasan perumahan.

Beliau berkata, disebabkan kekangan logistik, akses terhad dan cabaran kerja-kerja pembinaan di kawasan bukit; kerja-kerja pembaikan dan pemulihan perlu dijalankan secara berperingkat bagi memastikan pelaksanaannya selamat dan lancar.

“Kami menjangka akan menjalankan kerja-kerja pemulihan di stesen menunggu terowong atas menjelang pertengahan tahun hadapan, yang dijangka menelan belanja beberapa juta ringgit,” katanya.

Menurutnya Bukit Bendera dijangka menarik kehadiran sekitar 1.8 juta pelawat tahun ini berbanding 1.72 juta tahun lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan: