X

Kindly register in order to view this article
!

Tan Sri Dr Arshad Ayub dilantik Canselor UIM

Tan Sri Dr Arshad Ayub
A
A

SHAH ALAM - Tan Sri Dr Arshad Ayub dilantik sebagai Canselor Universiti Islam Malaysia (UIM) pada konvokesyen pertama universiti tersebut.

Beliau merupakan tokoh yang bertanggungjawab dalam pembangunan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang memberikan peluang pendidikan kepada golongan bumiputera.

Beliau juga telah menyempurnakan majlis pengisytiharan yang berlangsung di Dewan Auditorium UIM, Cyberjaya baru-baru ini.

Pada majlis itu, seramai 12 orang graduan memperoleh ijazah masing- masing, iaitu empat menerima ijazah doktor falsafah dan lapan menerima ijazah sarjana.

Turut disampaikan anugerah akademik iaitu Anugerah Canselor dan Anugerah Presiden.

Dalam satu kenyataan di sini semalam, UIM memaklumkan akan menawarkan program pra siswazah bermula Mei tahun hadapan.

“Program tersebut telah mendapat Kelulusan Pengendalian daripada Kementerian Pendidikan (KPM).

“Sebanyak tujuh program ditawarkan iaitu empat di peringkat ijazah sarjana muda dan tiga diploma,” kata kenyataan itu lagi.

Program tersebut adalah Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat, Ijazah Sarjana Muda Kewangan Islam, Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Kefatwaan manakala untuk diploma, Diploma Perakaunan, Diploma Pentadbiran Muamalat dan Diploma Pentadbiran Korporat.

Di samping itu, UIM juga sedang menunggu maklum balas penilaian program daripada pihak Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Gerontologi, Kepimpinan Adat dan Warisan, Warisan Nabawi dengan Pengurusan Maklumat dan Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

UIM juga menawarkan lapan program pengajian pasca siswazah yang telah mendapat pengiktirafan daripada MQA dalam bidang Kewangan, Pengurusan, Undang-Undang dan Warisan bermula September 2015.

Selain itu terdapat dua program baru pasca siswazah yang akan ditawarkan dalam bidang al-Quran dan hadis.