X

Kindly register in order to view this article
!

Wujudkan jawatankuasa khas santuni kanak-kanak: Mujahid

Datuk Seri Dr Mujahid Yusof -Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Masjid disaran mewujudkan jawatankuasa khas untuk menyantuni kanak-kanak dengan pendekatan berhemah ketika mereka berada di rumah ibadah tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, saranan itu rentetan insiden penularan surat seorang kanak-kanak mengenai pengasingan saf juga selaras dengan konsep RAHMAH Masjid agar mesra dengan kanak-kanak dalam mengimarahkan masjid, katanya.

Mujahid hari ini menerima kunjungan kanak-kanak itu Nadzrul Zafran Shahrul Azly, 10, yang menarik perhatian ramai selepas surat yang dihantarnya kepada imam dan jawatankuasa surau dua tahun lepas bertanyakan kenapa beliau diasingkan saf dengan orang dewasa, tular di media sosial, di sini.

Bercakap kepada media sempena kunjungan itu, Mujahid berkata larangan kanak-kanak tidak boleh berada di saf hadapan telah menjadi 'budaya' di kebanyakan masjid dan surau di negara ini namun perkara itu tidak dinyatakan oleh agama Islam, malah Nabi Muhammad SAW sendiri mesra kepada kanak-kanak dan bersolat bersama mereka.

Selain amalan menghormati jemaah yang lebih tua, tidak berlaku kesalahan untuk kanak-kanak bersolat di saf hadapan bersama orang-orang dewasa selagi kanak-kanak tersebut boleh mengawal diri dan tidak mengganggu jemaah lain, katanya.

"Saya cadangkan tiap-tiap masjid melayan kanak-kanak daripada sebelum mereka solat sehingga selepas solat dengan cara yang difikirkan sesuai oleh jawatankuasa itu seperti memberikan mereka coklat, makanan atau minuman selepas mereka bersembahyang,” katanya.

Sementara itu, Nadzrul Zafran ketika mengimbas kembali idea menulis surat itu berkata ia tercetus selepas terkilan dengan tindakan jawatankuasa masjid di kawasan Lembah Pantai, Kuala Lumpur yang mengarahkannya untuk ke saf belakang ketika beliau sudah bersedia untuk menunaikan solat terawih, dua tahun lepas.

"Saya telah siap berdiri di sisi ayah untuk memulakan solat sebelum pengerusi membuat pengumuman meminta kanak-kanak untuk ke saf belakang tanpa alasan yang kukuh.

"Saya sangat terkilan kerana saya sudah bersunat dan menjaga tingkah lalu ketika di rumah Allah, lalu semasa di rumah saya menulis surat bagi bertanyakan perkara itu dan menyerahkannya kepada imam keesokan harinya," kata pelajar Sekolah Kebangsaan La Salle, Brickfields itu.

Nadzrul Zafran yang bercita-cita menjadi pensyarah di Universiti Madinah berkata, beliau menulis surat tersebut dengan niat yang baik supaya masjid tidak menjadi 'mimpi buruk' kepada kanak-kanak berikutan tindakan pengurusan yang tidak mesra.

Selain Mujahid, tindakan Nadzrul Zafran yang menyuarakan hak kanak-kanak itu turut mendapat perhatian Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang membalas dan memberi penjelasan berhubung kedudukan saf kanak-kanak di dalam masjid dan surau. -Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus