Belia perlu kreatif gabung permotoran, pelancongan

Wan Ahmad Uzir (kanan) melihat sektor permotoran dan pelancongan mampu memberikan pulangan hasil yang tinggi kepada penggiat terutama golongan belia.
Wan Ahmad Uzir (kanan) melihat sektor permotoran dan pelancongan mampu memberikan pulangan hasil yang tinggi kepada penggiat terutama golongan belia.
A
A
A

ALOR SETAR - Golongan belia perlu kreatif meneroka lebih banyak peluang dengan menggunakan kaedah rentas bidang seperti sektor permotoran dan pelancongan sebagai langkah meningkatkan produktiviti.

Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, idea baharu tersebut dilihat mampu mencetuskan peluang dan memberikan manfaat serta faedah di samping menyatukan penggiat kedua-dua sektor.

Menurutnya, langkah tersebut dapat menarik lebih ramai peserta dan memberikan impak lebih tinggi dengan melibatkan audien yang lebih besar.

"Sebagai contoh, acara permotoran dianjurkan bersama dengan elemen pelancongan dapat memberikan impak positif seperti menjana pendapatan tinggi kepada penggiat dan pemain sektor terbabit.

"Kita perlu terus memberi sokongan agar setanding dengan negara lain di peringkat antarabangsa," katanya ketika berucap pada Karnival Permotoran Kedah (KPK) 2019 di Dataran MBI Desaku, Kulim di sini semalam.

Sementara itu Pengerusi Sekretariat Penganjuran KPK, Abdul Rahman Ahmad berkata, program tersebut menggabungkan beberapa cabang permotoran utama yang segar di Malaysia terutamanya di negeri sebelah utara tanah air iaitu Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Pertubuhan Belia Amanah (Pembela) berkata, acara tersebut turut menyatukan pemilik serta peminat arena permotoran termasuk pengusaha dalam bidang automotif tanpa mengira latar belakang berhimpun bagi berkongsi dalam penganjuran berskala besar yang julung-julung kali diadakan.

“Skop permotoran adalah rentas budaya dan bangsa jadi penganjuran kali ini bertujuan untuk menjadi platform penyatuan semua pihak dalam sector permotoran termasuk pihak industri dan kerajaan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Abdul Rahman, Lebih 1,000 kenderaan daripada pelbagai jenis termasuk kereta pacuan empat roda dan motosikal membanjiri Karnival tersebut yang dianjurkan di Dataran MBI Desaku, Kulim di sini hari ini.

Penganjuran program satu hari itu diadakan bersempena dengan ketibaan Tahun Melawat Malaysia 2020 dan cuti persekolahan yang mensasarkan kehadiran kira-kira 7,000 hingga 10,000 pengunjung dengan lebih 10 acara permotoran melibatkan drift, Lite Core Challenge, Retro Bike dan Automotive Marketplace.