Najib 'usik' kerajaan PH berkaitan hal jalan raya

Kenyataan Najib di Facebook
Kenyataan Najib di Facebook
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, menyifatkan tindakan kerajaan PH yang mahu kerajaan negeri menanggung kos pembinaan dan penyelenggaraan jalan persekutuan dan kampung menggunakan dana sendiri sebagai tidak adil.

Menurutnya, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan persekutuan melaksanakan perkara itu seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Kerajaan PH kini mahu kerajaan-kerajaan negeri menanggung kos pembinaan dan penyelenggaraan jalan persekutuan dan kampung menggunakan dana sendiri tahun ini.

"Ini tidak adil untuk kerajaan-kerajaan negeri terutama untuk negeri-negeri yang bukan di bawah PH seperti Sarawak.

"Nama pun jalan persekutuan," katanya di Facebook hari ini.

Status terbaru bekas pemimpin nombor satu negara itu dibuat bagi mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya, Baru Bian, bahawa kerajaan negeri mungkin diminta menanggung sendiri kos pembinaan dan penyelenggaraan jalan persekutuan dan kampung berikutan belanjawan nasional yang terhad.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Najib turut memberitahu kerajaan persekutuan di bawah BN sebelum ini telah bersetuju dan meluluskan pembiayaan sepenuhnya pembinaan Jambatan Rambungan dan Jambatan Batang Igan.

Manakala pembinaan Jambatan Batang Lupar dibiayai secara 50-50 antara negeri Sarawak dan persekutuan.

Artikel Berkaitan:

"Kini, kerajaan PH tidak mahu membayar untuk ketiga-tiga jambatan itu dan kerajaan Sarawak terpaksa membiayai kos pembinaan penuh.

"Mengapa perlu bertindak zalim kepada Sarawak?. Negeri-negeri yang bukan di bawah PH pun membayar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan cukai-cukai persekutuan yang lain.

"Duti eksais kereta dan cukai jalan setiap tahun pun dikutip oleh kerajaan persekutuan PH," katanya.

Jelasnya lagi, PH harus mematuhi perlembagaan persekutuan dan bersikap adil kepada semua kerajaan negeri.