Isteri baling tukul besi dihantar ke Hospital Permai

Roslina diiringi polis sewaktu hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
Roslina diiringi polis sewaktu hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini memerintahkan seorang suri rumah dihantar ke Hospital Permai, Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan psikiatri selama sebulan susulan kes mencederakan suaminya dengan tukul besi.

Tertuduh, Roslina Mat Yousop, 35, sebelum itu hadir ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 326A kanun yang sama.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dan Hakim Nooriah Osman menetapkan sebutan semula kes pada 22 Januari depan serta mengarahkan tertuduh ke Hospital Permai untuk mendapatkan rawatan.

Berdasarkan pertuduhan, Roslina didakwa dengan sengaja mencederakan suaminya berusia 42 tahun dengan menggunakan tukul besi pada 4 Disember lalu, kira-kira jam 10 pagi di kediaman mereka di Kondo Rakyat, Kuala Ibai.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun atau denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua hukuman berkenaan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang isteri bertindak membaling bateri kereta dan tukul besi ke kepala suaminya sehingga terpaksa menerima enam jahitan kerana suaminya enggan menjual besi buruk.

Bukan itu sahaja, wanita itu turut memukul suaminya dengan penyodok sampah kerana terlampau marah.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Suami dibaling tukul besi hingga cedera