Lebih 200 meriahkan Hari Keluarga Haji Mahmood

Sebahagian ahli keluarga Haji Mahmood yang memeriahkan program bergambar kenangan.
Sebahagian ahli keluarga Haji Mahmood yang memeriahkan program bergambar kenangan.
A
A
A

KOTA BHARU - Sambutan Hari Keluarga Haji Mahmood 2019 yang pertama kali dianjurkan berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 200 ahli keluarga.

Pengarah program, Datuk Che Rashid Mahmood berkata, majlis sehari yang diadakan di Kampung Bukit Ajil Baru, Pulau Chondong di Machang baru-baru ini dirancang lebih lapan bulan bertujuan mengeratkan hubungan keluarga yang sibuk dengan urusan mereka.

Menurutnya, program berkenaan dirancang sempurna walaupun sukar mengumpulkan ahli keluarga.

"Kita tidak mahu merenggangkan hubungan pada zaman serba canggih ini dan program diatur serta direalisasikan," katanya.

Menurutnya, pelbagai aktiviti disusun sesuai peringkat umur termasuk acara sukaneka.

"Kami juga tidak melupakan adik-beradik dan sanak saudara yang meninggal dunia dengan mengadakan tahlil dan juga doa selamat kepada semua ahli keluarga sebagai pembuka majlis," katanya kepada Sinar Harian.

Sebagai teladan kepada golongan muda juga, Che Rashid berkata, beliau turut menganugerahkan Tokoh Keluarga Haji Mahmood dengan memberikan selempang dan sijil kepada ahli keluarga paling berusia iaitu Ahmad Omar, 85 juga merupakan menantu kepada ayahnya.

"Melalui cara ini kita mengharapkan generasi muda dapat melihat nilai positif yang ditonjolkan menerusi program sebegini agar mereka sentiasa menghormati orang yang lebih tua dan juga menyayanginya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada program itu juga, Che Rashid memberitahu, 10 daripada 13 adik beradiknya yang masih hidup mengambil inisiatif menanam pelbagai jenis pokok untuk diwarisi kepada generasi akan datang.

"Setiap orang tanam pokok yang berbeza. Kami tanam pokok rambutan, petai, manggis dan sebagainya supaya generasi seterusnya akan mendapat manfaatnya nanti," katanya.

Katanya juga, sebagai galakan selain 50 hadiah cabutan bertuah yang disediakan, penganjur juga memberikan hadiah kepada kumpulan dari Pahang dengan penyertaan ahli keluarga paling ramai.

"'Terima kasih kepada adik saya, Haji Rusli dan juga semua pihak yang menjayakan program kali ini. Alhamdulillah pada program ini juga kita dapat merasmikan Laman Haji Mahmood yang dibangunkan dalam suasana tradisional," katanya.