Pecah rumah Exco: Belum ada bukti kaitkan kes rogol

Razarudin memerhatikan seorang peserta yang terpilih menyertai program Jalinan Kasih PDRM Perak bersama Anak-anak PDRM sempena cuti sekolah di Pasaraya Mydin Meru Raya hari ini.
Razarudin memerhatikan seorang peserta yang terpilih menyertai program Jalinan Kasih PDRM Perak bersama Anak-anak PDRM sempena cuti sekolah di Pasaraya Mydin Meru Raya hari ini.
A
A
A

IPOH - Polis setakat ini tidak mempunyai sebarang bukti untuk mengaitkan kejadian pecah rumah Exco Kerajaan Negeri, Paul Yong Choo Kiong yang dilaporkan 1 Disember lalu dengan kes pertuduhan rogol yang dihadapinya.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, siasatan yang dijalankan setakat ini lebih menjurus kepada pecah rumah.

"Kita tak berani nak cakap sebab ini kes 'genuine' pecah rumah, jadi kita belum tahu ada kaitan atau tidak melibatkan dakwaan merogol itu.

"Mengenai bilik pembantu rumah yang tidak digeledah itu, kita dapati memang tiada barang di bilik berkenaan, hanya ada katil dan tempat menggosok (baju)," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Jalinan Kasih PDRM Perak bersama Anak-anak PDRM sempena cuti sekolah di Pasaraya Mydin Meru Raya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Paul Yong yang tidak menolak kemungkinan kejadian itu ada kaitan dengan kes pertuduhan rogol yang dihadapinya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Rumah dipecah masuk kenalan, bukan bermotif curi'

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu berkata, kes tidak melibatkan sebarang kehilangan barang berharga sebaliknya hanya beberapa dokumen penting yang tersimpan dalam dua peti besi.

Kesemua ruang empat bilik di tingkat dua rumah berkenaan diselerakkan, namun bilik bekas pembantu rumah tidak digeledah.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, polis telah pun menjalankan risikan dan mengambil keterangan semua yang terlibat termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu siasatan kes itu.

Katanya, ia termasuklah mengenal pasti individu yang baru menyewa di kawasan kejiranan itu.

"Cap jari yang berjaya ditimbulkan pihak forensik masih dalam peringkat analisa, sekiranya satu jawapan positif, kita akan bertindak mengesan suspek," katanya.