Berpantang maut sebelum ajal

Kejadian menimpa mangsa disedari beberapa nelayan sungai sebelum diselamatkan. - Foto JBPM
Kejadian menimpa mangsa disedari beberapa nelayan sungai sebelum diselamatkan. - Foto JBPM
A
A
A

PEKAN - Berpantang maut sebelum ajal. Itu situasi dilalui dua nelayan apabila terselamat dalam kejadian bot terbalik di muara Sungai Baru Badong, Merchong berhampiran Jeti Kuala Merchong di sini pagi semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, kedua-dua nelayan terbabit, Husin Ismail, 50, dan rakannya, Mahmud Abdul Razak, 47, berjaya diselamatkan penduduk.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd Razli Mohd Yusof berkata, kedua-dua mangsa keluar dari jeti Badong dengan menaiki bot jenis gentian kaca kira-kira jam 7.30 pagi menuju ke kawasan muara untuk menarik pukat ketam.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi bot yang mereka naiki terbalik akibat dihempas ombak.

Bot yang dinaiki mangsa dibawa ke jeti oleh penduduk. - Foto JBPM
Bot yang dinaiki mangsa dibawa ke jeti oleh penduduk. - Foto JBPM

"Mangsa difahamkan terjatuh ke dalam air namun sempat berpaut pada bot sebelum dihanyutkan ombak hingga ke kawasan Pantai Basong.

"Situasi cemas dilalui mangsa disedari beberapa nelayan sungai yang kebetulan berada di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Razli berkata, nelayan terbabit membantu menyelamatkan mangsa dan pada masa sama kejadian turut dimaklumkan kepada pihak polis dan bomba untuk bantuan menyelamat.

Artikel Berkaitan:

"Susulan laporan yang diterima kira-kira jam 10.30 pagi itu, dua anggota dari Balai Nenasi ke lokasi bersama sepasukan anggota bomba.

"Setibanya anggota kita di lokasi mendapati mangsa sudah diselamatkan penduduk dan dibawa ke Jeti Badong bersama bot mereka," katanya.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Rompin untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.