Eat Right To Play Right didik anak muda

Pasukan No T Girl muncul juara dalam kategori perempuan B-12 pada Kejohanan Eat Right To Play Right Youth Cup 2019 di Kuala Lumpur hari ini. -Foto Bernama
Pasukan No T Girl muncul juara dalam kategori perempuan B-12 pada Kejohanan Eat Right To Play Right Youth Cup 2019 di Kuala Lumpur hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

"CORAK pemakanan yang sihat dan seimbang serta berdisiplin dalam menjalani latihan menjadikan saya lebih cergas di padang," kata Muhd Afiq Hazim, 12 tahun.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Alor, Melaka itu mengakui perubahan berlaku selepas dia dan pasukannya, Masjid Tanah City FC terpilih menyertai kejohanan bola sepak bagi merebut Piala Belia Eat Right To Play Right (ERTPR) anjuran Zurich Malaysia yang berlangsung di Kuala Lumpur hari ini.

Bagi mengekalkan stamina rutinnya setiap hari, Afiq menjadikan susu, telur, buah-buahan serta sayur-sayuran sebagai diet utama.

"Setiap pagi selepas mandi, bapa saya akan pastikan saya mengambil sarapan pagi sebelum ke sekolah supaya saya ada tenaga yang cukup untuk belajar dan menjalani latihan selepas pulang sekolah," katanya.

Menjadikan penjaga gol kebangsaan, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam sebagai idolanya, Afiq turut memberi penghargaan kepada Zurich Malaysia kerana dia dan rakan-rakan sepasukannya kini lebih memilih makanan berkhasiat berbanding makanan ringan setiap hari.

Kejohanan bola sepak anjuran syarikat insurans dan pengendali takaful itu sejak 2016 mendapat sambutan menggalakkan tahun ini dengan penyertaan lebih 2,160 pelajar dari Kedah, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor dan Kuala Lumpur.

Selain pengenalan kategori khas bagi Bawah 12 tahun (B-12) perempuan, tiga kategori lain dipertandingkan ialah lelaki B-8, B-10 dan B-12.

Ia diperkenalkan sebagai satu daripada program khas ERTPR yang bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pendidikan nutrisi selain menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

Pemain bola sepak profesional, Safee Sali turut dilantik sebagai duta program itu.

Sementara itu, Nur Farisha Karmila Shamsol Riduan, 12, dari SK Methodist Malim Nawar, Perak berkata, selain semakin aktif bersukan selepas menyertai kejohanan itu, beliau kini berjaya mengurangkan pengambilan makanan kurang nutrisi dan bergula.

"Saya kini lebih menjaga pemakanan, akan pastikan buah-buahan dan sayur-sayuran serta sumber protein seperti ayam dan ikan ada setiap kali saya mengambil hidangan. Mujurlah ibu dan ayah memang peka bab ini, jadi saya tidak perlu risau jika diet saya tersasar," katanya.

Safee ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata, program itu perlu diperluaskan ke semua negeri termasuk Sabah dan Sarawak supaya lebih ramai kanak-kanak mendapat manfaat daripada program itu.

"Seperti yang kita ketahui corak pemakanan seimbang perlu bagi seorang atlet mahu pun pemain bola sepak supaya sentiasa cergas dan cemerlang di padang.

"Sebagai duta program, saya berharap program ini yang memberi pendedahan mengenai kepentingan mengambil makanan bernutrisi di peringkat awal dapat diperluaskan termasuk di Sabah dan Sarawak supaya dapat melahirkan lebih ramai generasi yang lebih sihat dan mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat," kata penyerang PJ FC itu lagi.

Pada majlis itu, ketua bagi Zurich Malaysia, Stephen Clark menyampaikan hadiah kepada pasukan The Fighters yang menjadi johan kategori B-12, Kiddokickers (B-10), Arau Kids (B-8) dan No T Girl (perempuan B-12).