Disiplin kunci utama bina negara maju

Disiplin yang ada dalam diri rakyat Jepun menjadi sebutan di serata dunia.
Disiplin yang ada dalam diri rakyat Jepun menjadi sebutan di serata dunia.
A
A
A

BARU-baru ini, Merak Jalanan melancong ke Tokyo, Jepun dan menyaksikan sendiri betapa hebatnya negara maju itu.

Merak Jalanan berharap agar Malaysia akan berkembang menjadi seperti negara matahari terbit itu suatu hari nanti.

Jepun sudah lama menikmati perkembangan ekonomi pesat sejak tahun 1980-an lagi dan kini menjadikan negara ketiga termaju di dunia.

Negara itu mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak AS$4.87 trilion pada tahun 2017 sementara Malaysia pula AS$312.4 bilion.

Dari segi pendapatan perkapita, Jepun mencatatkan sebanyak AS$43,299 pada tahun 2017 dan Malaysia pula sebanyak AS$29,100 bagi tahun yang sama.

Populasi rakyat Jepun ialah sebanyak 126.22 juta orang pada Mac 2019 sementara Malaysia mempunyai 32.63 juta orang pada September 2019.

Walaupun wujud perbezaan ketara antara kedua-dua negara, namun tidak mustahil Malaysia mencapai kemajuan yang sama seperti negara itu kelak.

Ini semua boleh bermula dengan menukar pemikiran rakyat supaya berusaha dengan lebih kuat untuk sama-sama membangunkan negara yang kita cinta ini.

Artikel Berkaitan:

Kita boleh mulakan dengan perkara paling asas iaitu disiplin yang tinggi dan mementingkan kualiti kerja yang tinggi.

Merak Jalanan dapat saksikan sendiri betapa orang Jepun begitu komited dengan kerja dan memastikan setiap yang dilakukan dengan teliti dan tertib.

Tidak hairanlah apabila Merak Jalanan sendiri melihat kawasan pembinaan di Shibuya City begitu bersih dan teratur.

Ada yang mengatakan musibah yang sering melanda negara itu terutama gempa bumi yang boleh dikatakan berlaku hampir setiap hari menjadikan rakyat Jepun sangat menghargai kehidupan.

Malah, ia menuntut rakyat di negara itu melakukan yang terbaik apatah lagi Jepun pernah hancur ketika Perang Dunia Kedua.

Justeru, adalah diharapkan kita juga mengambil nilai-nilai positif daripada masyarakat Jepun supaya Malaysia dapat berdiri sama tinggi dengan Jepun.