Anwar tiada isu dengan Mahathir

Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohamad
Anwar Ibrahim dan Mahathir Mohamad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan bahawa tidak ada isu timbul antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan beliau berhubung soal peralihan jawatan nombor satu negara.

Dalam satu kenyataan hari ini Anwar berkata beliau menyedari wujud spekulasi meluas tentang beliau mengambil alih kuasa daripada Dr Mahathir yang disebut-sebut dalam laporan kurang tepat dalam media arus perdana dan sosial hingga mencetuskan persepsi konon wujud konflik dalam kepimpinan.

“Saya ingin menegakkan rekod dan mengulangi bahawa tidak ada apa isu pun antara Tun (Dr Mahathir) dan saya berhubung peralihan kuasa.

“Kami telah bersetuju mengenai proses dan rancangan peralihan dan perkara ini juga diselesaikan dalam Pakatan Harapan (PH),” kata beliau.

Anwar menyatakan selepas pertemuannya dengan Dr Mahathir Rabu lepas, beliau menegaskan pendirian konsistennya agar Dr Mahathir diberikan ruang dan sokongan untuk memimpin kerajaan.

“Kepimpinan PH mesti terus fokus terhadap isu-isu mendesak untuk menghapus kesulitan ekonomi rakyat, melakukan pembaharuan institusi dan membawa ke muka pengadilan mereka yang merompak wang rakyat.

“Saya sokong penegasan Perdana Menteri (Dr) Mahathir bahawa kerajaan PH adalah kukuh. Kami bekerja bersungguh-sungguh untuk menunaikan janji-janji kami kepada rakyat Malaysia sebagai sebuah kerajaan yang mewakili semua dan menolak segala bentuk umpan perkauman dan hasutan dengan tujuan mencetuskan kebencian dan keganasan,” kata Anwar.

Beliau menjelaskan sekalipun banyak telah dicapai, cabaran yang mendatang adalah berat dan memerlukan kerja berpasukan dan perpaduan dalam PH.

Artikel Berkaitan:

“Kami sedar terdapat kumpulan yang mahu melihat kami gagal. Saya menggesa kepimpinan agar sentiasa waspada terhadap kumpulan ini yang lebih suka melihat kemunculan kembali ‘rentier culture’ dan percubaan mereka untuk menyorok kekayaan negara hingga keadilan sosial dan kebajikan rakyat musnah,” kata beliau. - Bernama