Op Mega: Imigresen serbu tapak projek, rumah kongsi

logo imi
logo imi
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Imigresen Kedah menahan 41 pendatang asing tanpa izin (Pati) pelbagai warganegara dalam 'Op Mega' di dua lokasi berasingan di sekitar Bukit Kayu Hitam, di sini hari ini.

Pengarahnya Zuhair Jamaludin berkata, dalam operasi disertai 31 anggota dan pegawai Imigresen pada jam 10.30 pagi hingga 1.30 tengah hari itu, pemeriksaan dijalankan di sebuah tapak projek perumahan dan rumah kongsi.

"Kita telah menjalankan pemeriksaan terhadap 65 warga asing pelbagai warganegara dan daripada jumlah itu, 24 lelaki Bangladesh, lelaki Indonesia (lapan), lelaki Myanmar (lima), dan masing-masing dua lelaki Pakistan serta Thailand berumur 20 hingga 49 tahun ditahan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Zuhair berkata, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 56(1)(I) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1956/63 serta Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana menyalahgunakan pas lawatan sosial atau pas kerja.

Beliau berkata, mereka kini ditempatkan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik di Sik. - Bernama

Artikel Berkaitan: