Pemegang lesen perniagaan MPJL diingatkan perbaharui lesen segera

Raja Norazli
Raja Norazli
A
A
A

JEMPOL - Semua pemegang lesen perniagaan Majlis Perbandaran JempoL (MPJL) diingatkan agar segera memperbaharui lesen masing-masing bagi mengelakkan didenda sehingga 10 kali ganda kadar lesen jika gagal berbuat demikian.

Yang Dipertua MPJL, Raja Norazli Raja Nordin berkata, lesen perniagaan akan tamat secara automatik pada 31 Disember ini.

"Tempoh pembaharuan lesen perniagaan MPJL telah bermula pada 15 November dan akan berakhir pada hujung bulan ini.

"Denda 10 kali ganda daripada kadar lesen akan dikenakan kepada peniaga sekiranya gagal memperbaharui lesen pada tempoh yang ditetapkan," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Raja Norazli berkata, setakat ini hampir 25 peratus daripada 3,500 peniaga telah memperbaharui lesen masing-masing.

"Kami turut membuat hebahan mengenai perkara itu (perbaharui lesen perniagaan) menerusi laman sosial Facebook, Majlis Perbandaran Jempol.

"Sebarang pertanyaan boleh datang ke Pejabat Majlis Perbandaran Jempol bagi mengelakkan sebarang kekeliruan," katanya.

Raja Norazli juga mengingatkan peniaga yang mempunyai kompaun atau tunggakan cukai taksiran agar segera membuat pembayaran sebelum membuat permohonan lesen perniagaan MPJL yang baharu.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan berlainan, Raja Norazli berkata, pihaknya juga telah membuka permohonan tahun 2020 bagi penganjuran tapak pasar penjaja bergerak.

"Pasar penjaja bergerak ini meliputi pasar pagi, malam dan sehari MPJL.

"Borang permohonan dan maklumat lanjut permohonan boleh didapati di Kaunter Perlesenan Pejabat MPJL sebelum tarikh tutup yang dilanjutkan sehingga 10 Disember," katanya.