21 kematian akibat HIV di Hulu Langat

Zailiza (kanan) bersama Hasrolnizam (dua dari kiri) merasmikan sambutan Hari Aids Sedunia 2019 peringkat Daerah Hulu Langat di sini tadi.
Zailiza (kanan) bersama Hasrolnizam (dua dari kiri) merasmikan sambutan Hari Aids Sedunia 2019 peringkat Daerah Hulu Langat di sini tadi.
A
A
A

AMPANG – Seramai 261 pesakit dijangkiti HIV di daerah Hulu Langat dalam tempoh Januari hingga November tahun ini.

Pegawai Kesihatan Daerah Hulu Langat, Dr Zailiza Suli berkata, sebanyak 21 kematian akibat HIV dicatatkan di daerah ini di mana 10 daripadanya adalah di Ampang.

"Jumlah pesakit itu membawa kepada kadar notifikasi 18.7 per 100,000 penduduk.

"Sebanyak 33 peratus daripada 261 kes itu adalah di kawasan Ampang," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri sambutan Hari Aids Sedunia 2019 peringkat Daerah Hulu Langat di sini hari ini.

Beliau berkata, hubungan seksual dikesan antara penyumbang terbesar kepada HIV di negara ini mengikut statistik yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Sebanyak 98 peratus kes HIV dilaporkan berikutan hubungan seks rambang.

“Pada tahun lalu jangkitan HIV yang tertinggi adalah remaja dan belia berusia 20 hingga 39 tahun iaitu sebanyak 46.3 peratus," katanya.

Zailiza berkata, pihaknya mensasarkan golongan belia dan remaja termasuk pelajar sekolah dan penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) untuk pendidikan kesihatan berkaitan HIV dan Aids.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kita turut memberi fokus terhadap golongan hubungan seks sejenis dan pelajar di sekolah berasrama.

"Kita khuatir terhadap golongan seperti ini kerana mereka tidak dapat informasi dengan betul berkaitan Aids,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Hasrolnizam Shahri berkata, Ampang menjadi bandar pertama di Selangor yang terpilih untuk melaksanakan Projek Asean City Getting to Zero HIV.

“Projek Ampang Sifar AIDS 2025 itu berjalan lancar, terdapat empat jawatankuasa kerja terdiri daripada jawatankuasa advokasi dan promosi, pengurusan rawatan dan pengurangan kemudaratan, kebajikan, rehabilitasi dan khidmat sosial serta jawatankuasa perundangan dan penguatkuasaan," katanya.