X

Kindly register in order to view this article
!

'Jaga sumber kekuatan parti'

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara di IDCC. - Foto SINAR HARIAN /ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parti Amanah Negara (Amanah) perlu bertekad memastikan konsep Rahmatan Lil Alamin benar-benar berjaya dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana ia merupakan nyawa parti itu.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya memahami usaha keras Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang berhempas pulas menterjemahkan konsep Rahmatan Lil Alamin untuk kefahaman umum.

Beliau berkata, inisiatif itu kerana gagasan Rahmatan Lil Alamin adalah sumber kekuatan utama parti itu untuk kekal relevan dalam kerajaan dan membuktikan parti itu lebih baik daripada parti pembangkang terutama Pas.

"Rahmatan Lil Alamin adalah kekuatan dan nyawa kita. Kalau kita berjaya (laksanakan), maka kita akan dilihat berbeza, unggul dan dianggap 'outstanding' berbanding parti lain terutama parti lama yang doakan tarikh mati kita.

"Justeru, kita harus memastikan konsep Rahmatan Lil Alamin benar-benar hidup segar-bugar. Tidak akan mati.

"Kita mesti mampu menterjemahkan manfaat gagasan Rahmatan Lil Alami dalam diri kita dan parti kita, insya-ALLAH masyarakat di luar sana akan dapat menilai bagaimana Amanah dapat menyumbang kepada pembangunan insan negara ini," katanya sewaktu menyampaikan ucapan penggulungan sempena Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini.

Turut hadir, Presiden Amanah, Mohamad Sabu.

Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, sejak 18 bulan pentadbiran kerajaan PH, kementeriannya yang memiliki paling banyak agensi kerajaan berjaya memposisikan lebih 1,000 pegawai lantikan menteri terdiri ahli Amanah demi mengukuhkan organisasi kementerian.

Di samping itu, beliau turut memberikan peluang kepada ramai pemimpin muda parti untuk berkhidmat dalam kementerian dan agensi kerajaan berkaitan.

"Kalau PH menang lagi, mungkin ada antara mereka akan menjadi menteri lebih baik dan tidak jadi seperti saya, Mat Sabu dan menteri-menteri Amanah lain yang dikecam rakyat kerana kami bermula dengan pengalaman kosong," katanya.

Salahuddin turut mengingatkan perwakilan Amanah tidak menganggap pemimpin-pemimpin parti itu dilantik menteri 'enjoy' dan berfoya-foya dengan jawatan dimiliki selama ini.

"Sebenarnya tekanan kami duduk di kementerian sangat besar sehingga seorang demi seorang menteri rebah dalam Parlimen.

"Ini disebabkan kami berusaha keras hendak memenuhi keperluan negara, rakyat dan parti sendiri," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus