Kutip 8 tan sampah dalam tempoh 5 hari

Seramai 10 hingga 11 orang kontraktor pembersihan ditugaskan bagi membersihkan kawasan Kampung Bagan Hailam setiap hari.
Seramai 10 hingga 11 orang kontraktor pembersihan ditugaskan bagi membersihkan kawasan Kampung Bagan Hailam setiap hari.
A
A
A

KLANG - KDEB Waste Management Sdn Bhd berjaya mengutip sebanyak 8 tan sampah dalam tempoh lima hari menerusi projek Breath New Life yang dilaksanakan di Kampung Bagan Hailam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ramli Tahir berkata, kerja-kerja pembersihan tersebut adalah sukar dan rumit berikutan kedudukan kampung berkenaan yang terletak bersebelahan dengan muara pantai.

"KDEB diarahkan oleh Kerajaan Selangor untuk membersihkan seluruh kawasan perkampungan berkenaan dan menerusi kerja yang dijalankan, kita dapati terdapat pelbagai jenis sampah dibuang di sini.

"Oleh sebab itu, kita perlu menggunakan jentera khas yang terapung bagi mengutip dan membersihkan sampah-sampah berkenaan," katanya selepas program berkenaan hari ini.

Hadir sama sewaktu program tersebut adalah Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar.

Menurutnya, pihaknya juga menjangkakan akan mengambil tempoh masa selama tiga bulan bagi membersihkan sampah sarap di bawah kediaman penduduk dan kawasan sekitar kampung ini.

"Kita juga turut memotong pokok yang reput dan lama bagi mengindahkan lagi kawasan ini. KDEB guna 10 hingga 11 orang kontraktor pembersihan pada setiap hari bagi melaksanakan kerja-kerja ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sze Han (dua dari kanan) dan Ramli (tiga dari kanan) berbincang sesuatu ketika melakukan pemantauan sampah di Kampung Bagan Hailam
Sze Han (dua dari kanan) dan Ramli (tiga dari kanan) berbincang sesuatu ketika melakukan pemantauan sampah di Kampung Bagan Hailam

Sementara itu, Sze Han berkata, selepas empat bulan projek rintis itu dilancarkan, terdapat banyak perubahan dapat dilihat di kampung berkenaan terutama dalam aspek kebersihan.

Beliau berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM334,000 dalam menjayakan program tersebut untuk disalurkan bagi kegunaan kebersihan dan pengindahan.

"Program ini perlu dilaksanakan secara berterusan bagi menjadi perintis dan contoh kepada bagan serta kampung lain," katanya.

Mengulas mengenai kebersihan di kampung-kampung baru di negeri ini, Sze Han berkata, keadaan sampah di kawasan berkenaan masih kurang memuaskan.

"Menerusi retreat Jawatankuasa Kampung Baru di Ipoh baru-baru ini, saya telah nyatakan kita perlu tambah peruntukan untuk tahun depan bagi memperhebatkan lagi program kesedaran," katanya.