Sewa kondo RM350 untuk parti liar dadah

Antara yang ditahan dalam opeprasi 'Wild Party' di sebuah kondominium semalam.
Antara yang ditahan dalam opeprasi 'Wild Party' di sebuah kondominium semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai tujuh individu termasuk dua wanita warga asing ditahan sepasukan penguat kuasa dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Brickfields di sebuah kondominium di Jalan Sungai Besi di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin berkata, tiga lelaki dan seorang wanita tempatan serta dua wanita warga asing yang berusia dalam lingkungan 20 hingga 45 tahun ditahan ketika serbuan operasi 'Wild Party’ pada jam 1.52 petang.

“Kita turut menahan seorang lelaki dipercayai penganjur ‘private party’ ini dan kita merampas beberapa jenis dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) yang dianggarkan seberat 10.3 gram, 4.1 gram ketamin dan 2.2 gram ganja.

"Siasatan awal mendapati tiga suspek itu berkongsi duit untuk membayar sewa unit kondominium itu sebanyak RM350,” katanya melalui kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, peserta ‘private party’ ini dijemput melalui aplikasi WhatsApp manakala tempahan sewa rumah tersebut dibuat melalui panggilan telefon dan bayaran dilakukan secara dalam talian.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek yang ditahan itu positif dadah dan kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Serbuan dilakukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields hasil risikan berdasarkan maklumat orang awam. Segala kerjasama yang diberikan kepada pihak polis Brickfields amatlah dihargai," katanya.

Artikel Berkaitan: