Bapa enam anak terima Anugerah Canselor

Amir Suhaimi (dua dari kiri) bersama penerima anugerah lain pada Majlis Konvokesyen keenam DRB-Hicom Universiti Automotif Malaysia semalam.
Amir Suhaimi (dua dari kiri) bersama penerima anugerah lain pada Majlis Konvokesyen keenam DRB-Hicom Universiti Automotif Malaysia semalam.
A
A
A

KUANTAN - Seorang bapa kepada enam anak menerima Anugerah Canselor pada Majlis Konvokesyen keenam DRB-Hicom Universiti Automotif Malaysia di sini semalam.

Amir Suhaimi Hassan, 49, berkata, beliau tidak menyangka terpilih akan menerima anugerah selepas menamatkan pengajiannya dalam jurusan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dengan kepujian.

"Walaupun saya hanya diberikan satu hari cuti rehat oleh majikan untuk belajar namun saya masih boleh meraih kejayaan atas sokongan daripada orang di sekeliling saya seperti isteri, anak-anak serta keluarga.

"Mereka ini adalah tulang belakang di sebalik kejayaan sehingga saya mampu mencatat CGPA (Purata Nilai Gred Kumulatif) 3.97 sepanjang pengajian ini," katanya.

Sebelum itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli merasmikan majlis konvokesyen terbabit.

Hadir sama Pengerusi DRB-Hicom Universiti Of Automotive Malaysia, Datuk Seri Syed Faisal Albar dan Naib Canselor Universiti Of Automotive Malaysia, Profesor Datuk Dr Omar Osman.

Turut menerima anugerah Naib Canselor, Noor Ikma Syazwana Paisan, 21, dan penerima Anugerah Pengerusi pula diberikan kepada Nur Nazifa Abdul Azid, 23, manakala Simon Wong Tian Bing menerima Anugerah Pencapaian Khas.

Amir Suhaimi yang juga Ketua Pegawai Operasi Pos Digicert Sdn Bhd berkata, beliau amat berterima kasih kepada Bank Muamalat Bhd dan Pos Malaysia Berhad kerana sudi menaja pengajiannya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Omar berkata, beliau mahu graduan meneruskan kecemerlangan dalam bidang pilihan mereka dan terus berbakti kepada universiti serta komuniti apabila diberikan peluang untuk berbuat demikian.

Beliau juga mahu semua graduan mempunyai keperibadian mulia, berpengetahuan dan berkemahiran.

"Ini penting kerana dalam era revolusi industri keempat (IR.4.0) kemahiran dan pengetahuan sangat penting untuk kekal relevan," katanya.