X

Kindly register in order to view this article
!

Berhati-hati cadangan gabung FGV

A
A

BANYAK dimuat naik dan ditularkan di media sosial berita kononnya harga saham Felda Global Ventures (FGV) Berhad naik mendadak tanpa disedari.

Itu tidak benar. Sebab itulah kita kena berhati-hati apabila baca media sosial. Ini kerana majoriti pengguna media sosial bukan pakar dalam hal media dan komunikasi.

Lagipun media sosial adalah tempat untuk bersosial bukan untuk maklumat sahih.

Untuk maklumat sahih dan bertanggungjawab kita masih perlukan media tradisional atau arus perdana yang ada wartawan dan pengarang.

Saya sering kata, dunia tanpa pengarang adalah dunia yang cacamarba, berbahaya dan anarki.

Berbalik kepada saham FGV, menang betul harganya naik tetapi tidaklah tinggi atau mendadak.

FGV adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang disenaraikan di Bursa Malaysia dengan sebahagian besar sahamnya dimiliki oleh Felda dan Koperasi Permodalan Felda.

Ia adalah ciptaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum Pilihan Raya Umum 2013.

Penyenaraian FGV memenuhi matlamat beliau tetapi merugikan Felda dan peneroka. Saya telah tulis berpuluh-puluh rencana mengenainya.

Pada penghujung pemerintahan Barisan Nasional (BN), nilai saham FGV jatuh merudum daripada harga terbitan RM4.55 seunit pada tahun 2012 kepada RM1.61 pada 8 Mei 2018.

Selepas kemenangan Pakatan Harapan (PH), harga saham FGV turun lagi kerana pelabur tidak pasti apa yang akan berlaku kepada syarikat itu.

Pada satu ketika, harganya jatuh kepada 64 sen.

Hal ini menjadi lebih buruk akibat kejatuhan harga minyak kelapa sawit. Salah satu sebab kejatuhan permintaan dan harganya ialah kempen boikot oleh negara-negara Eropah.

Sekarang harga minyak kelapa sawit semakin pulih dan perkembangan mengenai kawalan ke atas FGV memberi galakan kepada pelabur untuk membeli sahamnya.

Apabila ramai membeli, harga secara automatik akan naik.

Saya mendapat tahu bahawa ada minat daripada pelabur tertentu untuk mengambil alih FGV.

Besar kemungkinan pelabur inilah yang sedang mengumpul saham FGV menyebabkan harganya naik. Harga saham FGV kini berada di sekitar RM1.30 seunit.

Tetapi saya mendapat tahu pihak Felda tidak berminat menjual FGV dengan alasan bahawa dari awal lagi FGV adalah sebahagian daripada Felda.

Kalau tidak ada Felda, tidak adalah FGV. Itu betul.

FGV diwujudkan melalui pemindahan harta Felda seperti ladang, kilang perahan kelapa sawit, pengangkutan lori dan kilang-kilang memproses minyak kelapa sawit di dalam dan luar negara.

Yang tidak diserahkan adalah tanah peneroka. Tetapi sebahagian besar peneroka masih bergantung kepada FGV sebagai pembeli buah kelapa sawit keluaran mereka.

Jika FGV dijual kepada pelabur swasta, peneroka Felda akan kehilangan saluran jualan eksklusif buah kelapa sawit mereka.

Memanglah mereka boleh membuat perjanjian dengan pemilik baru tetapi mereka akan kehilangan kuasa tawar-menawar.

Sekarang pun peneroka terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapat bayaran daripada FGV berbanding sebelum wujud FGV bila mana mereka menjual terus kepada kilang Felda berhampiran.

Felda hanya boleh mempertahankan haknya ke atas FGV jika ia berjaya meyakinkan pelabur dan kerajaan berkenaan kemampuannya memperbaiki syarikat yang rugi dan terhutang itu.

Serentak itu kita kena ingat dan belajar daripada pengalaman penggabungan tiga buah syarikat perladangan milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) pada tahun 2007.

Sime Darby Plantation, Guthrie dan Golden Hope digabungkan kononnya bagi mewujudkan syarikat perladangan raksasa tetapi realitinya lebih indah khabar dari rupa.

Saya rasa alasan yang sama akan digunakan oleh mana-mana pihak yang berminat melakukan pengambilan alih dan penggabungan ke atas FGV atau syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain.

Kita juga harus berhati-hati terhadap janji manis pihak yang mengaku diri mereka pakar pemulihan korporat kerana mereka ini umpama melukut di tepi gantang yang hidup dengan mencari komisen.

Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!