Tindakan tegas buat pesalah

A
A
A

NAMPAKNYA semakin hari semakin banyak insiden yang mencabar dan memalukan. Terkini tular video pelajar menyanyikan lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin.

Video itu mengundang pelbagai reaksi netizen yang meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan pihak sekolah terbabit yang sewenang-wenangnya mengubah lirik asal lagu itu kepada bahasa Mandarin.

Belum pun reda isu Jalur Gemilang bintang lima bucu, timbul pula isu pelajar sekolah menyanyikan lagu Negaraku dalam versi bahasa Mandarin.

Semacam wujud sinetron yang dijadualkan oleh pihak tidak bertanggung jawab untuk mencabar kedaulatan negara mutakhir ini.

Sedangkan umum tahu bahawa lagu kebangsaan tidak boleh digubah sesuka hati dan berdasarkan Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 tindakan seperti itu boleh menyebabkan pihak berkenaan didakwa di mahkamah kerana tidak menghormati lagu Negaraku.

Sama ada sengaja atau tidak, tindakan tegas perlu diambil kepada semua sekolah yang mengubah atau meminda dalam apa-apa bentuk sekali pun lagu Negaraku.

Sementara itu di media sosial, netizen mengecam tindakan pihak sekolah terbabit yang dipercayai sekolah vernakular yang dilihat cuba merosakkan lagu kebangsaan.

Netizen juga menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak sekolah yang jelas sekali biadab dan mencabar undang-undang di negara ini.

Walaupun siasatan Kementerian Pendidikan mendapati, video nyanyian lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin bertujuan untuk memberi kefahaman terhadap maksud, tujuan dan adab ketika menyanyikan lagu itu, namun tindakan itu sebenarnya telah melanggar undang-undang.

Namun persoalannya apa keperluan terjemahan itu dibuat? Jika murid dahulu boleh memahami dan mendendangkan lagu Negaraku dengan baik, kenapa sekarang mereka tidak boleh memahami dan menghayati bait-bait lagu Negaraku?

Artikel Berkaitan:

Ternyata pihak sekolah sebenarnya tidak menghormati peraturan dan undang-undang dan lambang negara. Menukarkan bahasa lagu berkenaan kepada bahasa lain juga telah menjarakkan lagi jurang perpaduan yang dipupuk melalui lagu Negaraku.

Agenda

Jika semua pihak bersikap begini, ditakuti akan wujud pelbagai versi lagu Negaraku dalam pelbagai bahasa- Mandarin, Tamil, Inggeris, etnik Sabah dan Sarawak.

Jika ia tidak ditegah kemungkinan besar dipercayai wujud pula lagu Negaraku dalam versi, Jawa, Banjar, Minang dan lain-lain. Jadi apa rasionalnya?

Kita juga tertanya-tanya, susah sangatkah untuk memahami bahasa Melayu dalam lagu Negaraku. Jika anak kecil mampu menyanyikan lagu dalam bahasa Inggeris, kenapa pula terkial-kial untuk mendendangkan lagu Negaraku?

Atau sebenarnya ada agenda tersembunyi sengaja melanggar peraturan.

Untuk rekod, tidak ada mana-mana negara di dunia menggunakan bahasa lain daripada bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan negara untuk lambang negara seperti Negaraku.

Jelasnya melalui lagu kebangsaanlah merupakan saluran untuk mewujudkan semangat cintakan negara atau patriotik. Melalui lagu kebangsaan jugalah wujudnya rasa hormat dan jati diri sesebuah negara.

Malah, Singapura yang ada tiga bahasa rasmi, lagu kebangsaan pun dalam bahasa Melayu. Kenapa mereka boleh menghayati lagi kebangsaan mereka? Kenapa pula di Malaysia susah sedangkan bahasa kebangsaan adalah Bahasa Melayu.

Sebenarnya, ia berpunca daripada sikap guru dan pentadbir yang sengaja bertindak menukarkan bahasa Negaraku.

Kanak-kanak sekolah tidak boleh disalahkan. Anak-anak hanya mengikut arahan dan pihak guru dan pentadbir sekolah perlu bertanggungjawab terhadap insiden berkenaan.

Jika penyelesaian melalui maaf, sebenarnya kita tidak menunggak keadilan dan kebenaran berpaksikan undang-undang.

Jika maaf telah dapat menuntup kes dan tiada tindakan keras diambil kepada pihak yang melanggar kesalahan, ditakuti akan menyusul kemudian kes lain yang menjejaskan imej dan kredibiliti pihak pemerintah.

Akta lagu Negaraku diwujudkan bagi menjaga kredibiliti, prestij, kewibawaan dan maruah lagu kebangsaan kita.

Namun jika tiada penguatkuasaan dan ketegasan, maka akta itu akan tinggal sebagai dokumen yang tidak dikuatkuasakan.

Tindakan tegas tanpa prejudis mampu menjadi pengajaran buat mereka yang melanggar undang undang-undang negara.

Maruah dan kredibiliti pihak pemerintah perlu dipelihara agar mereka tidak terus diperlecehkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

* Prof Datuk Dr Ismail Sualman ialah Pengarah Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara