Perwakilan saran pinda had umur maksimum Warda

Siti Nur Aisyah - FOTO ROSLI TALIB
Siti Nur Aisyah - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) disarankan untuk meminda had umur maksimum ahli Wanita Muda Amanah (Warda) dari usia 30 kepada 35 tahun.

Perwakilan Selangor, Siti Nur Aisyah Mohamad Zain berkata, cadangan itu perlu diambil perhatian oleh parti kerana pada 16 Julai lalu Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang untuk menurunkan had umur mengundi dari 21 kepada 18 tahun.

Menurutnya, keputusan itu secara tidak langsung memberi kesan kepada bilangan belia yang perlu disantuni Warda.

Katanya, kerajaan menganggarkan jumlah pengundi akan meningkat lebih 50 peratus iaitu 22.7 juta pada 2023 berbanding 14.9 juta pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Jumlah itu (22.7 juta) bersamaan peningkatan tujuh juta pengundi muda.

"Jadi soalan yang harus difikirkan bersama, adakah Warda mempunyai tenaga kerja mencukupi untuk menyantuni belia yang semakin ramai dan bagaimana Warda mampu berdiri sebaris seperti Pemuda Amanah dan Puteri UMNO yang had umur mereka mencecah sehingga 40 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu membahas usul kajian pindaan perlembagaan Amanah pada Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvensyen IDCC di sini hari ini.

Siti Nur Aisyah berkata, untuk memenangi hati anak muda, perbezaan umur 10 tahun amat besar selain faktor kematangan berpolitik dalam diri anak muda itu sendiri.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kebanyakan anak muda hari ini mula mendapat pendedahan politik semasa di universiti.

Oleh itu katanya, pada umur 25 ke 30 tahun adalah waktu yang sesuai untuk mereka memerhati dan menjadi pengikut.

"Tempoh lima tahun adalah tempoh sejahtera untuk mencapai kematangan dalam dunia politik.

"Jadi tidak wajar untuk memetik buah tidak masak apabila majoriti kepimpinan Warda harus mengemudi sayap parti pada usia setahun jagung terlibat dalam politik," katanya.