Polis siasat video lagu Negaraku versi Arab

Dua daripada klip video menunjukkan lagu Negaraku yang dinyanyikan sekumpulan remaja di dalam kelas dipercayai sekolah agama dan sekolah rendah.
Dua daripada klip video menunjukkan lagu Negaraku yang dinyanyikan sekumpulan remaja di dalam kelas dipercayai sekolah agama dan sekolah rendah.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis sedang mengenal pasti rakaman dan lokasi tiga klip video tular yang memaparkan lagu Negaraku dinyanyikan dalam bahasa Arab.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya akan menyiasat kes itu mengikut Akta Lagu Kebangsaan 1968 yang turut menjelaskan larangan tidak mengubah lagu Negaraku.

"Kita masih belum dapat memastikan di mana kejadian itu dirakamkan dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk apa tujuan lagu kebangsaan itu dinyanyikan dalam bahasa lain," katanya.

Rakaman itu masing-masing berdurasi antara satu minit dua saat hingga satu minit 28 saat, dipercayai berlaku di dalam negara namun lokasi sebenar tidak dapat dipastikan.

Dua daripada klip video menunjukkan lagu Negaraku yang dinyanyikan sekumpulan remaja di dalam kelas dipercayai sekolah agama dan sekolah rendah.

Sebuah klip video lagi dipercayai dirakamkan dalam kelas agama yang dihadiri sekumpulan individu dewasa.

Mengulas mengenai siasatan terhadap lagu Negaraku dalam bahasa Mandarin yang dinyanyikan sekumpulan murid sekolah rendah di Seremban, Negeri Sembilan, Mior Faridalathrash berkata, polis sudah merakam keterangan pengurusan sekolah yang terbabit

"Kita akan berjumpa semula pengurusan sekolah itu sebelum kertas siasatan dilengkapkan," katanya.

Artikel Berkaitan: