KPKT bina 14 lagi PPR di seluruh negara tahun depan

Daripada jumlah itu, satu PPR akan dibina di Tungku Lahad Datu, Sabah yang menempatkan 500 unit rumah.
Daripada jumlah itu, satu PPR akan dibina di Tungku Lahad Datu, Sabah yang menempatkan 500 unit rumah.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membina 14 lagi perumahan di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara pada tahun hadapan.

Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, daripada jumlah itu, satu PPR akan dibina di Tungku Lahad Datu, Sabah yang menempatkan 500 unit rumah.

Beliau berkata, pada tahun ini, sebanyak 40 PPR melibatkan 27,099 unit rumah dibina di Sabah, termasuk 30 projek dengan 20,799 unit PPR telah siap, tujuh PPR masih dalam pembinaan manakala tiga lagi dalam perancangan.

“Banyak unit PPR dibina di Sabah kerana Sabah mempunyai lebih banyak rumah setinggan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Eko Komuniti #trashtocash di PPR Sri Keramat, Putatan di sini hari ini.

Mengulas mengenai skim sewa beli PPR di Sabah, Mohammad berkata, kerajaan Sabah perlu mengemukakan permohonan untuk tujuan itu bagi PPR yang dibina oleh KPKT untuk dijual.

“KPKT memang memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk memohon bagi skim sewa beli untuk sesuatu tempoh kepada mereka yang kurang berkemampuan memiliki rumah khususnya dalam kalangan B40,” katanya.

Terdahulu, Mohammad dalam ucapannya berkata, program #trashtocash itu merupakan siri keenam dan terakhir jelajah Eko Komuniti yang bertujuan menggalakkan komuniti setempat khususnya penduduk yang menetap di PPR agar menjaga kebersihan dan mengutamakan kesihatan.

Katanya, Malaysia dianggarkan menjana sekurang-kurangnya 1.17 kilogram sisa makanan daripada setiap individu sehari.

Artikel Berkaitan:

“Peningkatan penjanaan sisa ini akan menimbulkan isu kebersihan seperti pengurusan sampah yang tidak berkesan, tabiat membuang sampah merata-rata serta tahap kebersihan tandas dan premis makanan yang kurang memuaskan,” katanya.

Siri pertama program itu diadakan di PPR Taman Bagan Jaya, Pulau Pinang pada 9 Nov lepas, diikuti PPR Desa Mutiara, Johor; PPR Padang Hiliran, Terengganu, PPR Taman Kosas Ampang, Selangor dan PPR Kuala Kangsar, Perak. - Bernama