PNS bantu tingkat industri francais tempatan

Sebahagian peserta bersama pihak penganjur bergambar bersama-sama selepas tamat program hari ini.
Sebahagian peserta bersama pihak penganjur bergambar bersama-sama selepas tamat program hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMASKINI] Walaupun industri francais negara telah mencapai satu tahap membanggakan termasuk lahirnya jenama tempatan terkenal yang berjaya ke persada antarabangsa, namun Perbadanan Nasional (PNS) berpendapat potensi industri francais tempatan masih luas untuk diterokai.

Ketua Pegawai Operasi (Sokongan Perniagaan) PNS, Azlina Juliani Abd Jalil berkata, bertepatan dengan program Bizfrancais@Kelantan, ia menandakan satu lagi inisiatif pihaknya dalam bentuk kerjasama bersama rakan strategik untuk menjana pertumbuhan ekonomi seterusnya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan terutamanya bidang francais, khususnya di negeri ini.

Menurutnya, kerjasama tersebut dilihat bertepatan pada waktunya bagi membantu

rakyat tempatan meningkatkan pendapatan selain dapat melahirkan lebih ramai lagi usahawan francais tempatan.

“Inisiatif ini juga jelas menunjukkan sokongan padu PNS, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) terhadap pembangunan usahawan khususnya di dalam bidang francais.

“Ia juga bukan hanya menumpukan kepada pembangunan ekonomi semata- mata malahan juga aspek pembangunan sosial masyarakat di Kelantan. Ia juga seiring dengan Dasar Keusahawanan Nasional ke arah ”Negara Keusahawanan Unggul 2030” yang telah dilancarkan Perdana Menteri baru-baru ini,” katanya.

Program Bizfrancais@Kelantan yang berlangsung di UMK Kampus Kota hari ini dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Perniagaan Francais PNS, Fauzi Awang, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Perancangan dan Pembangunan) PKINK, Mohamad Nasriff Daud dan Pengarah Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Pendidikan UMK, Prof Madya Dr Mohammad Ismail.

Artikel Berkaitan:

Azlina Juliani berkata, program sehari itu melibatkan 400 peserta terdiri daripada usahawan, bakal usahawan dan orang awam yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ilmu keusahawanan terutamanya dalam bidang francais serta bantuan ditawarkan PNS.

Tambah beliau, PNS telah menganjurkan sebanyak enam program dalam siri jelajah BizFrancais di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak sebagai usaha untuk mempromosi perniagaan francais secara menyeluruh.

Katanya, Program BizFrancais di Kelantan adalah lokasi ketujuh dan yang terakhir sebagai penutup tirai dalam siri jelajah Program BizFrancais 2019.

“Penganjuran program BizFrancais di enam lokasi sebelum ini telah dihadiri oleh lebih 2,000 orang peserta dan telah menjana jumlah permohonan potensi pembiayaan yang bernilai RM28.4 juta,” katanya.

Pengusaha Piara Group Resources (Cold Time) menerima replika cek bernilai RM112,710 hari ini.
Pengusaha Piara Group Resources (Cold Time) menerima replika cek bernilai RM112,710 hari ini.

Katanya lagi, PNS selaku agensi bertanggungjawab di dalam industri tersebut akan sentiasa memberi peluang kepada perniagaan yang berpotensi untuk dimajukan, serta memberi bantuan bukan sahaja dari segi pembiayaan malah latihan dan konsultansi untuk usahawan pra francaisi.

“Program Bizfrancais ini adalah salah satu program turun padang PNS yang telah dirancang dengan tujuan memperkenalkan perniagaan francais kepada golongan sasar dengan lebih dekat lagi.

“PNS yakin dengan adanya program sebegini ia memudahkan bakal usahawan untuk mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan dengan perniagaan francais dan skim-skim pembiayaan serta latihan yang ditawarkan oleh kami,” katanya.

Katanya, diharapkan peserta mendapat manfaat daripada program tersebut dalam

meningkatkan sumber pendapatan dan membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi industri francais.

“Ia juga seterusnya dapat menangani jurang ekonomi sebagaimana yang disebut oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam Wawasan Kemakmuran Bersama,” katanya.

Pada program itu juga pihaknya turut menyampaikan replika cek bernilai RM112,710 kepada Piara Group Resources (Cold Time) yang mengusakan produk minuman beribu pejabat di Pasir Puteh.

Sementara itu, Wan Roslan menyambut baik sebarang kerjasama dari pelbagai pihak untuk membantu meningkatkan ekonomi penduduk di Kelantan.