Semua PPS di Terengganu ditutup

Keadaan banjir yang melanda negeri ini. - Foto Angkatan Pertahanan Awam (APM)
Keadaan banjir yang melanda negeri ini. - Foto Angkatan Pertahanan Awam (APM)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Semua pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu ditutup pada jam 10 pagi tadi.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri, Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata, PPS terakhir ditutup melibatkan dua lokasi di daerah Kuala Nerus.

"Pejabat Daerah Kuala Nerus telah memaklumkan penutupan Bilik Gerakan Bencana Daerah jadi semua PPS terakhir di daerah Kuala Nerus telah ditutup sepenuhnya.

"Setakat ini boleh dikatakan bahawa bencana banjir bagi fasa ketiga ini telah pulih," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Che Adam yang juga Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Terengganu (APM) berkata, pihaknya masih berada dalam keadaan bersiap siaga terhadap sebarang kemungkinan bencana banjir.

Katanya, di selatan Terengganu iaitu Dungun dan Kemaman kini masih dalam keadaan waspada di mana jika terdapat hujan lebat berterusan, boleh menyebabkan banjir.

"Bahagian hulu Dungun dan Kemaman dimaklumkan terdapat hujan renyai-renyai dan lebat.

"Jika berlarutan kemungkinan berlaku banjir di kawasan rendah atau pinggir sungai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Fasa atau gelombang ketiga banjir di Terengganu telah bermula pada 29 November lalu dan berakhir hari ini (7 Disember) melibatkan lapan daerah dengan rekod tertinggi mangsa 6,028 pada 2 Disember.

Terdahulu, gelombang pertama banjir fasa pertama berlaku di Hulu Terengganu pada 13 hingga 14 November lalu melibatkan 33 mangsa dari Kampung Cheting.

Fasa kedua pula berlaku di daerah Marang pada 22 hingga 23 November membabitkan 35 mangsa dan daerah Kemaman pada 22 hingga 24 November (304 mangsa).