MBSA anjur program kucing angkat

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mengadakan Program ‘Kucing Angkat’ sempena penganjuran Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan 2019 pada 13 Januari 2019 bertempat di Dataran Kemerdekaan.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, program berkenaan diadakan bertujuan untuk meningkatkan kesedaran kepada komuniti setempat supaya lebih bertanggungjawab kepada haiwan peliharaan demi untuk persekitaran yang bersih dan selamat.

Katanya, ia juga menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran terhadap pemilikan haiwan secara bertanggungjawab.

"Sebanyak 40 ekor kucing akan diadopsi semasa program ini diadakan. Kucing-kucing yang diadopsi ini telah ditangkap oleh pihak MBSA di kawasan-kawasan seperti pasar dan gerai sebanyak 20 ekor, manakala sumbangan daripada pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pula sebanyak 20 ekor.

"Sebelum diadopsi, kucing-kucing ini telah divaksin, dan dibuat pemeriksaan kesihatan. Setiap kucing yang diadopsi daripada pihak MBSA akan dikenakan bayaran sebanyak RM20 dan maksimum pengambilan kucing adalah sebanyak dua ekor bagi seorang pemilik," katanya menerusi kenyataan.

Menurutnya, MBSA juga akan turut bekerjasama bersama pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Selangor, pihak World Wide Fund for Nature (WWF) Malaysia, dan pihak The Society for the Prevention of Cruelty to Animals, Selangor, Malaysia (SPCA Selangor) untuk menjayakan program ‘Kucing Angkat’ ini.

"Antara pengisian aktviti semasa program ini adalah seminar, pameran statik, serta ‘booth’ jualan. Program ini juga menerima tajaan dari beberapa syarikat pengeluaran makanan haiwan serta klinik rawatan haiwan yang menyokong program sebegini dilaksanakan.

"Sehubungan itu pihak MBSA juga ingin menjemput orang ramai untuk hadir dan memeriahkan program ini," katanya.

Artikel Berkaitan: