Pemergian Daud satu kehilangan besar

Halimah (tengah) bersama anak dan cucunya kelihatan tenang ketika ditemui di rumahnya di Kota Bharu hari ini.
Halimah (tengah) bersama anak dan cucunya kelihatan tenang ketika ditemui di rumahnya di Kota Bharu hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Pemergian Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad petang semalam dianggap satu kehilangan besar dalam bidang perundangan syariah.

Mufti Kelantan, Datuk Mohammad Shukri Mohammad berkata, kali terakhir beliau berjumpa dengan rakannya itu beberapa hari lalu ketika melawatnya semasa menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM).

“Saya melihat beliau seperti biasa, nampak tidak sakit. Bagi saya pemergiannya satu kehilangan yang besar. Apa-apa pun kita sedekahkan al-Fatihah dan doakan arwah ditempatkan dalam kalangan insan dirahmati ALLAH SWT,” katanya kepada Sinar Harian.

Daud yang berusia 84 tahun dan juga pakar perundangan syariah meninggal dunia pada jam 6.45 petang semalam di HUSM kerana sakit tua.

Jenazah beliau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Setia Budi, Kampung Aman di sini jam 11 malam tadi selepas disembahyangkan di Masjid Kampung Sireh.

Sementara itu, isteri Allahyarham, Datin Halimah Hussin, 74, ketika ditemui di rumahnya hari ini berkata, suaminya sudah empat hari menerima rawatan di HUSM kerana sakit tua.

Halimah berkata, suaminya juga tidak menunjukkan sebarang perubahan dan beliau juga dapat bercakap sehingga ke akhir hayatnya.

“Arwah menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 6.45 petang di HUSM, ketika itu kami semua ada di sisinya.

Artikel Berkaitan:

“Suami sempat berpesan supaya kami menjaga hubungan kekeluargaan. Kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya.

Allahyarham yang dilantik sebagai Ketua Hakim Syarie Kelantan sejak tahun 1989 meninggalkan seorang isteri, empat anak dan 11 orang cucu.

Keluarga menziarahi pusara Daud di Tanah Perkuburan Islam Setia Budi, Kampung Aman hari ini.
Keluarga menziarahi pusara Daud di Tanah Perkuburan Islam Setia Budi, Kampung Aman hari ini.

Daud dilahirkan di Kota Bharu mendapat pendidikan awal di Sekolah Arab, Indera Putera, Bachok, Kelantan dan Madrasah Al-Falah, Makkah serta Saudi Al-Maahad Al-Ilmi, Al-Saudi, Makkah.

Semasa hayatnya, Allahyarham banyak memberikan sumbangan antaranya menjadi panel dan pakar rujuk komuniti syariah Jabatan Peguam Negara serta panel Hakim Mahkamah Rayuan.

Beliau juga dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2019 peringkat kebangsaan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

ARTIKEL BERKAITAN: Ketua Hakim Syarie Kelantan meninggal dunia