Kor Risik Diraja pantau usaha wujudkan semula komunis

- Foto keratan daripada Filem Bukit Kepong
- Foto keratan daripada Filem Bukit Kepong
A
A
A

SERDANG - Pasukan Kor Risik Diraja (KRD) memantau rapi perkembangan semasa berhubung dakwaan wujudnya percubaan pihak tertentu menghidupkan semula semangat komunisme di negara ini.

Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP) Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Sheikh Mokhsin Sheikh Hassan berkata, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menangani sebarang anasir yang boleh mengancam keselamatan negara.

"Sama ada ia benar-benar wujud atau tidak, kita sememangnya berada dalam mood memantau ancaman tersebut dan pemantauan berjalan setiap hari secara rapat dan rapi.

"Apa sahaja elemen ancaman yang ada dalam negara kita pantau dan pemantauan ini turut melibatkan kerjasama PDRM khususnya dalam hal perisikan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Pesta Kor Risik Diraja (Perisik) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Sheikh Mokhsin berkata, secara umumnya ancaman dalam bentuk tersebut masih terkawal, malah apa yang berlaku lebih kepada elemen mensensasikan isu untuk tujuan tertentu.

Sebelum ini, media melaporkan terdapat perjumpaan bekas ahli Parti Komunis Malaya (PKM) di Kajang, Selangor memaksa Kementerian Dalam Negeri mengarahkan polis dan Cawangan Khas menyelesaikan segera siasatan berhubung dakwaan pertemuan tersebut.

Dalam pada itu Sheikh Mokhsin berkata, cabaran semasa KRD selepas 50 tahun ditubuhkan adalah berdepan ancaman asimetrik membabitkan isu keselamatan seperti serangan siber dan penggunaan media sosial.

Bagi mendepani cabaran itu, katanya usaha memperlengkapkan KRD dengan aset siber dan teknologi maklumat terkini seperti Cyber Defence, Cyber Exploitation dan Cyber Offensive giat dilakukan bagi menjamin hasil risikan yang lebih mantap.

Artikel Berkaitan:

"Secara asasnya, pertahanan siber kita telah lengkap sepenuhnya tetapi pemilikan peralatan tersebut akan menjadikan KRD dan hasil risikannya setanding dengan negara-negara maju yang lain," katanya.

Mengenai karnival Perisik, Sheikh Mokhsin berkata, ia merupakan program julung kali diadakan bersempena Jubli Emas penubuhan KRD bagi mendekatkan orang ramai dengan tugas dan fungsi perisikan ketenteraan yang selalunya hanya bertindak di belakang tabir.

Katanya, melalui karnival selama tiga hari sehingga esok itu orang ramai akan didedahkan dengan transformasi agensi perisikan daripada operasi konvensional kepada siber dan keganasan seiring perubahan semasa melalui pameran dan aktiviti yang disediakan. - Bernama