Panik perigi timbul: Ini penjelasan pakar

Laporan Sinar Harian berkaitan kebimbangan penduduk sekitar apabila melihat perigi timbul dibadai ombak di kawasan pantai itu. Gambar kiri: Dr Effi Helmy Ariffin.
Laporan Sinar Harian berkaitan kebimbangan penduduk sekitar apabila melihat perigi timbul dibadai ombak di kawasan pantai itu. Gambar kiri: Dr Effi Helmy Ariffin.
A
A
A

KUALA NERUS - Keadaan hakisan yang berlaku secara semula jadi di Pantai Pengkalan Maras di sini telah merubah bentuk pantai daripada garisan pantai yang lurus kepada sebuah teluk kecil akibat pergerakan arah ombak ke pantai.

Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr Effi Helmy Ariffin berkata, perubahan yang disifatkan tidak asing itu disebabkan hakisan teruk pada bahagian selatan daerah ini yang telah berpindah sedikit demi sedikit ke arah utara.

"Pantai di arah utara juga menunjukkan garisan pantai yang lurus menjadi stabil apabila teluk yang kecil ini telah mengurangkan daya tenaga ombak," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Dalam perkembangan sama, menurutnya, keadaan itu juga disebabkan pembinaan benteng-benteng secara drastik bagi mengawal hakisan yang teruk sehingga mengancam keselamatan penduduk setempat.

"Pembinaan benteng-benteng ini dapat mengurangkan hakisan di kawasan yang terlibat tetapi berpindah ke arah utara Kuala Nerus.

"Kesannya dapat dilihat di Pantai Pengkalan Maras di mana hakisan yang teruk telah berlaku hanya dengan perubahan selama dua bulan (Oktober hingga Disember 2019) dengan keluasan 10 meter (m) lebar dan ketinggian 2.3m telah hilang," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Perigi timbul dibadai ombak

Justeru, Effi Helmy berkata, tanggapan bagi membina benteng untuk menyelesaikan masalah hakisan adalah tidak tepat.

Artikel Berkaitan:

"Kita perlu membuat kajian terlebih dahulu dengan mengambil kira pelbagai faktor dan kesan terhadap pantai sekiranya ingin membina benteng atau membiarkan hakisan terus berlaku. Kemudian, baru kita cuba mengadaptasikan langkah yang terbaik untuk pantai kita," katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan perubahan kawasan pesisir Pantai Pangkalan Maras, di sini akibat dibadai ombak hingga menampakkan bentuk asal sebuah perigi yang terletak di pantai itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.

Keadaan perigi yang timbul akibat kehilangan tanah setinggi 2.3 meter akibat hakisan.
Keadaan perigi yang timbul akibat kehilangan tanah setinggi 2.3 meter akibat hakisan.