Kekal Naib Presiden Amanah, Mujahid tekad bina parti

 Dr Mujahid Yusof
Dr Mujahid Yusof
A
A
A

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berazam untuk memberi lebih penumpuan kepada pembinaan parti dalam pelbagai aspek.

Beliau berkata, secara peribadi selepas diberi peluang sekali lagi untuk memikul tanggungjawab sebagai naib presiden parti, beliau bertekad untuk memastikan perkara itu dapat diberi penekanan pada kali ini.

"Pembinaan parti dimaksudkan termasuk dari segi sumber manusia, kompetensi ahli serta kesedaran mereka terhadap keperluan Malaysia baharu.

"Lebih penting saya mahu semua ahli Amanah dapat mengekalkan keperibadian Muslim untuk kasih kepada negara dan menyumbang kepada kemakmuran bersama yang kita tetapkan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Konvensyen Nasional Amanah 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.

Terdahulu, Mohamad Sabu dan Datuk Seri Salahuddin Ayub dikekalkan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden Amanah bagi sesi 2019-2020.

Mujahid bersama Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar dan Datuk Hassanuddin Mohd Yunus dikekalkan sebagai naib presiden parti bagi sesi sama.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, beliau bersama pemimpin tertinggi Amanah juga tidak akan mensia-siakan mandat dan kepercayaan yang diberi oleh seluruh perwakilan.

"Kita mendengar segala aduan daripada perwakilan tetapi apa yang dibangkitkan bukan kerana kita sengaja mengabaikan parti tetapi kekangan dari segi masa akibat tugasan sebagai menteri mengalihkan sedikit tumpuan terhadap parti.

Artikel Berkaitan:

"Tapi kita percaya kali ini, kita sudah selesa untuk memahami rentak dan boleh membahagikan masa serta tumpuan kepada parti khususnya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mohamad, Salahuddin kekal Presiden, Timbalan Presiden Amanah