Skuad dodgeball negara dituntut kekal konsisten

Skuad lelaki dan wanita dodgeball negara bergambar setibanya dari Cancun, Mexico selepas mendapat tempat kedua pada Kejohanan Dunia Dodgeball 2019 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam. -Foto Bernama
Skuad lelaki dan wanita dodgeball negara bergambar setibanya dari Cancun, Mexico selepas mendapat tempat kedua pada Kejohanan Dunia Dodgeball 2019 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam. -Foto Bernama
A
A
A

SKUAD dodgeball negara dituntut mengekalkan prestasi terbaik dengan memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri pada Kejohanan Asia Pasifik 2020, April tahun depan.

Menurut pengurus pasukan negara Teo Yong Jiew, prestasi cemerlang dipamerkan skuad lelaki dan wanita negara Kejohanan Dodgeball Dunia 2019 di Cancun, Mexico seharusnya dijadikan suntikan semangat menjelang kejohanan berkenaan.

"Kami tetap gembira dengan pencapaian secara keseluruhan pasukan negara pada Kejohanan Dunia apatah lagi pemain pasukan lelaki R Harigaran merangkul gelaran pemain paling bernilai selepas tamat perlawanan, tetapi kami masih belum puas selagi tidak membawa pulang emas.

"Saya berharap skuad dodgeball negara akan terus berjuang dalam misi memburu emas pada masa sama memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri di Kejohanan Asia Pasifik 2020 yang akan menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah, April tahun depan," katanya ketika ditemui bersama kontinjen negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini semalam.

Skuad dodgeball negara mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri selepas pasukan lelaki dan wanita masing-masing meraih pingat perak pada perlawanan final selepas tewas kepada Amerika Syarikat, skuad lelaki negara tewas 4-9 manakala pasukan wanita kalah tipis 5-7.

Sementara itu, kapten pasukan lelaki Carlos Goonting berpuas hati dengan prestasi kesemua para pemain sepanjang kejohanan namun mengakui pasukannya sedikit hilang rentak pada perlawanan akhir.

"Saya berpuas hati dengan kesemua pemain terutamanya pada pusingan separuh akhir, kami menewaskan pasukan Kanada (13-5), tetapi pada pusingan final adanya ‘calls back’ daripada pengadil yang sepatutnya memberi mata untuk kami tetapi ia berpihak kepada lawan mengakibatkan ada di antara kami hilang fokus.

"Kekurangan pegawai dalam pengurusan dan tiada jurulatih juga punca kegagalan, adalah sukar apabila beberapa pemain terpaksa memainkan peranan berganda,” kata pemain berusia 26 tahun itu.

Artikel Berkaitan:

Skuad dodgeball negara akan berehat buat sementara waktu sebelum memulakan latihan untuk kejohanan Asia Pasifik tahun depan.